Police Tero terbang ke Johor

Astro Arena
Mac 13, 2024 12:15 MYT
Police Tero kendalian bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe kini menghuni tangga ke-14 liga Thailand. - Foto Police Tero
KELAB sensasi Thailand, Police Tero memilih Johor Bahru, Johor sebagai venue pemanas badan The Silver Shield Dragons ketika saingan Liga Satu Thai berhenti rehat sementara.
“Mari pergi ke Johor Bahru. Pagi yang gelap hari ini, pemain dan kakitangan Tero FC berlepas untuk kem latihan di Johor Bahru, Malaysia dari 13 hingga 21 Mac 2024,” umum pengurusan kelab menerusi satu hantaran di platform media sosial mereka pada Rabu.
Sebagai rekod, Police Tero kendalian bekas pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe kini menghuni tangga ke-14 liga dalam kalangan 16 pasukan bertanding - 20 mata dari 21 perlawanan.
Cheng Hoe yang mula mengendali pasukan itu pada awal Mac, memulakan kempen dengan meraih keputusan seri 1-1 berdepan Nakhon Pathrom diikuti tewas 0-2 kepada Prachuap pada 8 Mac lalu.
Police Tero akan kembali menyambung saingan liga berbaki sembilan perlawanan lagi bermula dengan berdepan Muangthong United di Stadium SCG pada 31 Mac.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Police Tero #kelab Thailand #Tan Cheng Hoe #Johor Bahru
;