Pogba sah milik United dengan harga termahal dunia
Astro Arena
Ogos 9, 2016 10:28 MYT
Ogos 9, 2016 10:28 MYT
Manchester United mengumumkan telah memeterai perjanjian membawa masuk Paul Pogba dari Juventus dengan rekod perpindahan dunia sebanyak £90 juta (RM471.9 juta).
Pemain tengah Perancis itu bersetuju dengan perjanjian selama lima tahun untuk kembali ke Old Trafford, dengan pilihan untuk menyambung setahun lagi, selepas empat tahun meninggalkan England untuk ke Turin.
"Saya gembira dapat menyertai semula United. Ia sebuah kelab yang sentiasa mempunyai keistimewaan dalam hati saya, dan saya tidak sabar untuk bekerja di bawah Jose Mourinho.
"Saya menikmati musim saya di Juventus dan mempunyai kenangan indah di sebuah kelab hebat dengan pemain yang boleh saya anggap sebagai kawan. Saya rasa ia waktu tepat untuk kembali ke Old Trafford.
"Saya sentiasa gembira untuk beraksi di depan peminatnya dan sudah tidak sabar untuk memberi sumbangan kepada pasukan. Ini sebuah kelab yang tepat untuk saya mencapai segala-galanya," ujar Pogba.
Pogba merupakan pemain keempat yang diikat Jose Mourinho, selepas kehadiran Eric Bailly, Zlatan Ibrahimovic dan Henrikh Mkhitaryan.
Mourinho berkata, Pogba merupakan antara pemain terbaik di dunia dan bakal menjadi nadi buat United. Saya mahu membina sebuah pasukan untuk masa depan.
"Dia pantas, tegap, menjaringkan banyak gol dan membaca permainan lebih baik daripada pemain seusianya. Pada usia 23 tahun, dia memiliki peluang untuk mengukuhkan posisinya dalam tempoh yang lama.
"Dia pemain muda dan akan terus meningkat; dia berpeluang untuk menjadi nadi buat pasukan ini untuk dekad seterusnya dan lebih lama lagi," ulasnya.
Pogba telah membuktikan keupayaannya ketika membantu Juventus dengan memenangi empat kejuaraan Serie A, dua gelaran Coppa Italia.