Pogba kembali cedera, penampilan bersama Juventus tertunda lagi
Astro Arena
Februari 2, 2023 11:25 MYT
Februari 2, 2023 11:25 MYT
PAUL Pogba perlu menunggu lebih lama untuk kembali mewakili Juventus di peringkat tertinggi apabila disisihkan daripada perlawanan suku akhir Coppa Italia menentang Lazio awal pagi esok gara-gara satu lagi masalah kecederaan.
Pemain kebangsaan Perancis itu masih belum dapat mewakili Juve sejak kembali ke pangkuan kelab itu daripada Manchester United awal musim ini disebabkan siri kecederaan berulang.
Dia mengalami kecederaan lutut dalam aksi pramusim sebelum menjalani pembedahan, yang menyaksikan dia terlepas aksi sehingga ke hari ini, termasuk mewakili Perancis dalam Piala Dunia Qatar bulan lalu.
Pogba dinamakan sebagai pemain simpanan dalam aksi Serie A menentang Monza minggu lalu tetapi dia tidak diturunkan Massimiliano Allegri, yang dikejutkan dengan kekalahan 0-2 di Stadium Allianz.
Allegri mengesahkan dalam sidang media sebelum perlawanan bahawa pemain berusia 29 tahun itu mengalami satu lagi kecederaan ringan yang tidak mengizinkannya untuk menyertai perlawanan menentang Lazio.
"Saya masih belum menentukan apa-apa bagi perlawanan esok daripada segi skuad selain (Leonardo) Bonucci tidak tersenarai dan Pogba pula mengalami kesakitan flexor.
"Malangnya, apabila anda tidak beraksi selama beberapa bulan dan keamatannya meningkat, kesakitan akan datang dan anda akan memerlukan masa yang lebih panjang," katanya.
Pogba, yang menandatangani kontrak empat tahun bersama Juventus, tidak pernah beraksi sejak kali terakhir mewakili bekas kelabnya, United, ketika menewaskan Liverpool 4-0 pada April lalu.
"Ia memerlukan masa," tambah Allegri.
"Tubuhnya perlu menyesuaikan diri. Kami perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin dan pada waktu yang tepat apabila dia sudah bersedia."