Pogba julang Messi sebagai terbaik, paling unik sejak sedekad lepas
Israr Khalid
Julai 1, 2018 06:37 MYT
Julai 1, 2018 06:37 MYT
Langkah Lionel Messi mungkin terhenti singkat dalam Piala Dunia kali ini, namun Paul Pogba melihat sumbangan bintang Argentina itu terlalu besar dalam sukan bola sepak dan tidak akan dilupakan selamanya.
Messi gagal untuk sekali lagi menggalas pasukannya untuk terus mara ketika Kylian Mbappe mengambil alih tumpuan untuk meledak dua gol membantu Perancis menang 4-3, dan ramai mengatakan perlawanan di Kazan semalam saksi kepada peralihan antara dua generasi.
Dan Pogba tampil menyatakan penghargaannya kepada pemain yang diangkat sebagai yang terbaik sepanjang zaman.
“Sudah lebih 10 tahun sejak dia menjadi pemain terbaik di dunia. Dia unik, saiznya unik, apa yang dilakukan dengan bola adalah unik, dia adalah seorang pemain kaki kiri yang tulen. Dia akan sentiasa menjadi idola.
“Saya kalah bersama Juventus di final Liga Juara-Juara 2015 kepadanya dan saya gembira dapat menewaskannya hari ini,” katanya lagi yang tidak melihat kekalahan itu pengakhiran untuk segalanya buat Messi.
“Pemain seperti itu membuatkan anda terus jatuh cinta pada bola sepak. Saya fikir dia akan terus menjadi yang terbaik untuk banyak tahun lagi dan selalu menjadi satu kenikmatan melihatnya bermain,” ujar pemain Manchester United itu.
Pastinya kata Pogba, Messi akan bersedih dengan kegagalan buat kesekian kalinya dalam perjuangan menjulang Piala Dunia untuk negaranya.
“Tetapi dia akan kekal dalam ingatan setiap peminat bola sepak, setiap jurnalis, setiap manusia di seluruh dunia, selamanya.”
Pogba juga dilihat memeluk Messi untuk menenangkannya yang termenung di tengah padang selepas wisel penamat dibunyikan, menandakan berakhirnya misi untuk menebus kekecewaan di Rusia selepas kecundang final edisi lepas di Brazil.
Messi masih lagi gagal melakar sebarang kegemilangan bersama La Albiceleste, biarpun selepas 128 perlawanan yang turut termasuk tiga final Copa America dan satu final Piala Dunia.
Selepas kekalahan di final Copa America Centenario 2016 kepada Chile, Messi mengumumkan persaraannya dari pentas antarabangsa namun kembali untuk membantu Argentina melayakkan diri ke Piala Dunia 2018.
Bintang Barcelona berusia 31 tahun itu mencetak 65 gol bersama skuad kebangsaan, termasuk hatrik penting ketika menentang Ecuador yang sekali gus menempah tiket untuk Argentina ke Rusia.
Rakan sepasukan, Lucas Biglia dan Javier Mascherano sudah mengumumkan persaraan dari skuad kebangsaan, namun setakat ini masih belum ada tanda atau petunjuk bahawa pemenang anugerah Ballon D’Or lima kali itu mahu mengucapkan selamat tinggal kepada tugas antarabangsanya.
#Argentina
#bola sepak
#La Albiceleste
#Les Blues
#Lionel Messi
#Paul Pogba
#Perancis
#Piala Dunia
#Piala Dunia AWANI
#Raya Bola 2018