'Pocket Rocketman' sudah kembali, jangan berhenti beri sokongan - Pemerhati sukan

Bernama
Februari 27, 2023 05:00 MYT
Sabtu lepas, Azizulhasni memenangi pingat perak menerusi acara keirin pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa yang berlangsung di Jakarta. - Foto Facebook Azizulhasni Awang
KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang telah membuktikan semangatnya masih membara untuk mencipta sejarah menghadiahkan pingat emas sulung Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024 tahun hadapan.
Ia susulan pencapaian menakjubkan juara dunia 2017 menerusi acara keirin itu memenangi pingat perak acara sama pada Kejohanan Piala Negara-Negara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang berlangsung di Jakarta, Indonesia baru-baru ini.
Pemerhati sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli mengakui sangat teruja dan gembira apabila atlet berusia 35 tahun itu meraih kejayaan tersebut kurang daripada setahun selepas melalui pembedahan jantung terbuka pada April tahun lepas.
Apa yang lebih menarik perhatian Pekan ialah Mohd Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman berjaya menyaingi kehebatan pelumba yang jauh lebih muda, Harrie Lavreysen dari Belanda iaitu juara dunia 2022 dan pemenang emas Sukan Olimpik Tokyo 2020.
"Ini satu petanda yang sangat positif kerana sebelum ini saya katakan ada rasa was-was dengan prestasi beliau (Mohd Azizulhasni), tapi dengan kejayaan di Jakarta tambahan pula bersaing dengan juara dunia dan Olimpik seolah-olah beliau sudah kembali ke prestasi sebenar.
"Kalau sebelum ini beliau menang di Australia (Austral Wheelrace di Melbourne pada Disember 2022) tanpa jaguh-jaguh dunia, kali ini apa yang ditunjukkan memberi kita keyakinan beliau berpotensi dan wajar menjadi sandaran emas di Paris," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Isnin.
Mohd Azizulhasni yang merangkul pingat perak keirin pada Olimpik Tokyo 2020 dan gangsa dalam acara sama pada edisi 2016 di Rio de Janeiro terpaksa berpuas hati membawa pulang perak di Jakarta selepas hanya dipisahkan 0.024 saat (s) di belakang Lavreysen pada final Sabtu lepas.
Olahragawan Kebangsaan 2009, 2010, 2017 dan 2019/2020 dan 2021 itu kemudian tersingkir di peringkat suku akhir ketika turun bersaing dalam acara pecut keesokan harinya.
Sementara itu, Pekan berpendapat Mohd Azizulhasni wajar mendapat sokongan yang sama ketika membuat persiapan ke Tokyo dalam menghadapi cabaran di Paris nanti.
"Saya nampak dia memerlukan sokongan tambahan yang hebat kerana saya percaya kekuatan dalaman beliau sendiri iaitu faktor motivasi intrinsik sudah sangat kuat. Sokongan perlu datang dari segi apa yang boleh pastikan beliau mencapai prestasi yang luar biasa untuk beraksi di Paris.
"Sokongan tambahan itu umpamanya dari segi teknologi, sokongan aspek sains sukan, basikal, jurulatih, sokongan pasukan yang menyeluruh dan juga sokongan dari segi psikologi," katanya.
Berdasarkan ranking dunia ketika ini, Mohd Azizulhasni menghuni kedudukan ke-46 dalam acara keirin yang merupakan acara kegemarannya dan berada di posisi ke-48 bagi pecut, menurut https://dataride.uci.ch/iframe/Rankings/9/.
Perkembangan itu menyaksikan Mohd Azizulhasni memanjat lebih 200 dan lebih 400 anak tangga masing-masing dalam ranking keirin dan pecut selepas berada di kedudukan ke-281 dan posisi ke-479 pada Oktober tahun lepas susulan berehat panjang selepas pembedahan.
Anak jati Dungun, Terengganu itu menjadi wakil tunggal skuad berbasikal negara dibarisi antaranya Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Anis Amira Rosidi, yang membawa pulang kilauan pingat pada kejohanan di Jakarta.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang #olimpik paris 2024 #jaguh berbasikal trek negara #Pekan Ramli
;