The Pocket Rocketman bertarung dengan tahap kesihatan
Bernama
Mac 14, 2018 17:03 MYT
Mac 14, 2018 17:03 MYT
Berbaki kurang tiga minggu sebelum menggalas cabaran negara di Sukan Komanwel Gold Coast 2018, Olahragawan Kebangsaan 2017, Mohd Azizulhasni Awang masih bertarung dengan tahap kesihatannya untuk kembali mencapai tahap prestasi terbaik.
Pelumba berusia 30 tahun yang diberi jolokan 'The Pocket Rocketman' itu berkata, beliau belum dapat kembali berlatih di tahap intensiti tertinggi susulan tahap kesihatan yang masih lemah sejak dijangkiti demam virus ketika beraksi di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2018 di Belanda hujung bulan lepas.
Beliau yang ditemui pada majlis Anugerah Sukan Negara 2017 semalam berkata, tahap kesihatannnya itu ternyata merencatkan segala perancangannya, namun tetap positif dalam menempuh dugaan tersebut dan mengakui fokusnya kini adalah untuk segera pulih.
"Saya dan jurulatih (John Beasley) sudah cuba untuk 'all out' dalam sesi latihan sebelum ini tetapi kerana tahap kesihatan saya ini ia menjadi sukar dan saya berasa semput memandangkan saya memang ada 'exercise induced asthma' jadi kami terpaksa mengurangkan intensiti latihan itu.
"Ia (tahap kesihatan) jelas mengganggu dan merencatkan program latihan kami tetapi apa boleh buat.
"Fokus kini adalah untuk segera pulih dan saya berharap minggu depan dapat kembali berlatih pada tahap intensiti sebenar kerana masa sangat kritikal sekarang," katanya yang cuba menyembunyikan suara seraknya akibat kesan dijangkiti virus tersebut.
Pada masa sama, beliau mengakui kesan dijangkiti virus tersebut membimbangkannya yang menyasarkan keputusan terbaik di Sukan Komanwel 2018 selepas hanya merangkul pingat gangsa pada edisi sebelum ini di Glasgow, Scotland.
"Sudah tentu saya risau sebab takut tidak dapat capai kondisi terbaik di Gold Coast tetapi kalau kita terlalu fikirkan perkara yang negatif seperti itu, ia sudah tentu akan melemahkan saya. Jadi saya mahu fokus kepada elemen positif sahaja.
"Sekarang, lebih baik saya tumpu terhadap perkara yang boleh saya buat dengan kondisi saya ketika ini seperti mendapatkan rawatan khusus di Institut Sukan Negara (ISN) selain berehat secukupnya sebelum kembali dengan kondisi terbaik ke trek latihan," jelas beliau.
Bagaimanapun, dugaan yang ditempuh jaguh berbasikal trek negara itu sedikit terubat selepas beliau sekali lagi dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas meraih gelaran sama pada tahun 2009 dan 2010.
Beliau berkata, pengiktirafan tersebut meniupkan semangatnya untuk terus mempamerkan kayuhan menakjubkan selain memberi motivasi bukan sahaja untuk menghadapi Sukan Komanwel, malah Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang yang dijadual berlangsung pada Ogos depan.
-- BERNAMA
#Azizulhasni Awang
#Gold Coast 2018
#John Beasley
#Olahragawan Kebangsaan 2017
#Sukan Komanwel
#The Pocket Rocketman