PSG 3 BORDEAUX 1

Mauricio Pochettino kesal dengan kecaman penyokong sendiri ketika Paris Saint-Germain (PSG) merakam kemenangan 3-0 ke atas Bordeaux, malam tadi, sambil menegaskan bahawa dia dan barisan pemainnya turut "berkongsi kekecewaan ini."

Pendahulu Ligue 1 itu dipaksa bermandi peluh ketika menentang pasukan tercorot berkenaan untuk menghasilkan tiga mata menerusi jaringan Kylian Mbappe, Neymar dan Leandro Paredes.

Bagaimanapun, penyokong tuan rumah menyuarakan rasa tidak puas hati mereka berikutan kekalahan memalukan dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara (UCL) kepada Real Madrid, Khamis lalu, hingga mengundang siulan berbaur ejekan terhadap Neymar dan Lionel Messi.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Pochettino berkata mengenai ejekan peminat itu: "Tiada siapa yang suka suasana seperti ini, ia membuatkan saya sedih.

"Semua penyokong PSG sedih dengan kekalahan kepada Madrid. Tapi saya juga sedih dengan apa yang dialami di sini hari ini.

"Kami semua turut terasa. Kami memahami kekesalan dan kekecewaan ini. Kami semua berasakannya sebagai sebuah pasukan. Kami bertanggungjawab ke apa yang berlaku. Kami turut berkongsi kekecewaan penyokong."


Bekas pengurus Tottenham itu juga menafikan tindakannya menurunkan Keylor Navas dan bukannya Gianluigi Donnarumma dalam perlawanan berkenaan kerana penjaga gol Itali tersebut sedang dikritik hebat berhubung kesilapannya yang membawa kepada gol pertama Madrid di Santiago Bernabeu untuk tersungkur 1-3.

"Ia bukan silap penjaga gol semata-mata tetapi kesalahan keseluruhan pasukan.

"Donnarumma dalam keadaan baik tapi hari ini kami memilih Keylor. Gigio dan Keylor sama-sama kecewa. Keputusan yang akan menentukan pilihan yang saya buat, bukannya kesilapan."