Pochettino label Manchester City antara kelab terulung dunia

Astro Arena
April 27, 2021 07:22 MYT
POCHETTINO: Kami tenang dan kami sedar kami perlu berjuang hebat dalam usaha menundukkan pasukan yang sangat hebat seperti Manchester City. - Gambar fail
MAURICIO Pochettino menggambarkan Manchester City sebagai salah sebuah pasukan terulung di dunia yang dipimpin oleh pengurus terbaik menjelang pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Paris Saint-Germain (PSG), awal pagi esok.
Kedua-dua pasukan, yang masih belum mengecapi kejayaan dalam kejohanan berprestij itu, akan berentap di Paris untuk pertemuan separuh akhir pertama terlebih dahulu dengan PSG ditundukkan oleh Bayern Munich dalam perlawanan kemuncak musim lalu.
PSG belum pernah menang dalam tiga perlawanan terdahulu ke atas The Cityzens yang akan membuat penampilan keempat dalam separuh akhir kempen Eropah itu.
Ketika ditanya apakah pasukan bimbingan Guardiola itu lebih ampuh berbanding ketika mereka membalas dendam terhadap Bayern untuk melepasi suku akhir, bekas pengurus Tottenham, Pochettino, mengatakan: "Saya rasa Manchester City merupakan salah sebuah pasukan terhebat di dunia dan dikendalikan oleh jurulatih terbaik.
"Adakah ia akan menjadi perlawanan yang lebih sukar daripada Bayern? Kami tidak tahu. Akan ada banyak teori berlegar tetapi yang paling penting adalah aksi 180 minit.
"Kami tenang dan kami sedar kami perlu berjuang hebat dalam usaha menundukkan pasukan yang sangat hebat seperti Manchester City.
"Ia akan menjadi perlawanan yang sukar tetapi bukanlah penting untuk beraksi di tempat sendiri atau lawan terlebih dahulu, sebaliknya kami perlu tampil dengan cara terbaik. Berdasarkan pengalaman saya dalam UCL, ia tidak banyak berubah.
"Ini bukan satu perseteruan peribadi, ini adalah perlawanan membabitkan PSG melawan Manchester City. Pep Guardiola adalah salah seorang jurulatih terbaik dan sekalipun bukan di dunia. Saya mengaguminya bukan hanya kerana gelaran pernah diraihnyha, sebaliknya legasi dibangunkannya dalam bola sepak. "
Pochettino menikmati kemenangan ke atas wakil Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dalam lapan perlawanan terakhir ketika mengendalikan Spurs, namun dia menegaskan bahawa faktor berkenaan tidakan akan memainkan peranan dalam pertemuan kali ini.
"Tiada apa yang dapat saya ambil menerusi perlawanan itu," katanya.
"Ia pasukan yang berbeza, pemain yang berbeza, situasi yang berbeza. Manchester City adalah pasukan yang berbeza berbanding ketika saya berada di Tottenham. Begitu juga PSG."
Guardiola akan setaraf dengan Jose Mourinho dalam pencapaian lapan kali ke separuh akhir UCL.
Berlandaskan pertemuan Pochettino-Guardiola, rekod pengurus dari Sepanyol itu nyata lebih unggul dengan merakamkan 10 kemenangan dan lima seri daripada 18 pertemuan.
#Mauricio Pochettino #Jose Mourinho #Bayern Munich #Liga Perdana Inggeris #bola sepak #Manchester City #EPL #Pep Guardiola
;