TOTTENHAM HOTSPUR 1 BRIGHTON & HOVE ALBION 0

Pengurus Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino, masih belum berputus asa untuk berharap Christian Eriksen akan memanjangkan kontraknya walaupun pemain tengah itu hanya mempunyai perjanjian yang berbaki 14 bulan.

Eriksen menyertai Spurs dari Ajax pada 2013 dan telah menjadi watak penting sebagai salah seorang perancang terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).

Dia meneruskan aksi cemerlangnya dengan menjaringkan gol tunggal pada lewat perlawanan ketika Spurs menewaskan Brighton and Hove Albion 1-0 di Stadium Tottenham Hotspur, awal pagi Rabu.



Ketika ditanya mengenai perkembangan terkini tentang perbincangannya dengan Eriksen, Pochettino memberitahu wartawan: "Saya fikir saya sudah jelas mengenainya sejak beberapa bulan lalu.

"Ia situasi yang sangat istimewa. Christian adalah seorang yang istimewa.

"Saya berasakan kami semua istimewa, berbeza dan kami perlu memahaminya.

"Waktu yang diperlukan untuk dia atau kelab ini mencapai persetujuan mungkin berbeza dengan pemain lain.

"Saya berharap dan saya berdoa agar Christian dapat bersama kami pada masa akan datang, namun kami dan Christian amat terbuka untuk berbincang dan kita akan lihat apa yang akan terjadi.

"Saya fikir ia pasti akan menghampiri penghujung musim ini, masih terdapat banyak waktu untuk berbincang selepas ini dan saya berasakan perkara yang penting ketika ini bukan sahaja dia tetapi buat kesemua pemain terus fokus dan meraih sesuatu yang kami inginkan.

"Kami mempunyai banyak perkara besar yang akan tiba dan kami perlu sentiasa fokus untuk mencuba, berlatih dan bersaing," katanya.

Eriksen mencuri tumpuan sejak akhir-akhir ini dan gol kemenangannya ke atas Brighton membuktikan persembahan terbaiknya di atas padang yang membuatkan Pochettino memberikan pujian terhadap kemahiran teknikal yang dimiliki pemain itu.

"Dia mempunyai kualiti yang luar biasa.

"Dia boleh melakukan percubaan dari luar kotak penalti dan rembatan daripada kaki kiri dan kanannya amat luar biasa.

"Sudah pasti ia berkaitan dengan mentaliti juga, namun jika anda tidak memiliki kualiti, anda boleh melakukan 10 percubaan tanpa penjaga gol dan masih gagal menjaringkan gol.

"Christian boleh melakukan percubaan dan menjaringkan gol," tambahnya.

Brighton kini semakin menghampiri zon penyingkiran dan pengurus pasukan, Chris Hughton, mengakui ia sangat perit untuk pasukannya ditewaskan pada penghujung perlawanan.

"Itulah yang kami rasakan," katanya ketika ditanya sama ada ia kekalahan yang menyedihkan.

"Kami mempunyai sedikit tuah ketika bertandang ke sini dengan percubaan mereka terkena palang dan kami bertahan dengan baik.

"Semakin lama ia berlangsung, saya berasakan kami mampu untuk mempertahankannya andai kami beraksi semakin baik pada penghujung perlawanan.

"Pemain tengah kedua-dua pasukan beraksi dengan amat baik.

"Ia situasi yang menekan, namun kami perlu melaluinya dan kami perlu menyesuaikan diri.

"Kami masih berpeluang ketika menantikan kunjungan Newcastle United (awal pagi Ahad ini)," katanya.