Pochettino bantah salahkan jabatan perubatan Chelsea

Astro Arena
September 23, 2023 09:50 MYT
Aksi Pochettino dan pengurus pasukan lawan Andoni Iraola ketika perlawanan EPL antara AFC Bournemouth dan Chelsea di Vitality Stadium, Bournemouth, Britain, 17 Sept 2023. - REUTERS
MAURICIO Pochettino mempertahankan jabatan perubatan Chelsea berikutan krisis kecederaan apabila hanya 15 pemain pasukan utama bersedia untuk bertemu dengan Bournemouth malam esok.
Pengurus itu beraksi tanpa 12 tonggak seniornya untuk pertemuan di Stadium Vitality yang berkesudahan tanpa jaringan sambil situasi Moises Caicedo, Marc Cucurella dan Noni Madueke memberi khabar buruk segar buat mereka.
Ini kali kedua sepanjang tahun ini kelab itu dilanda krisis kecederaan selepas bekas pengurus, Graham Potter, turut kehilangan 10 pemain pasukan utama pada Januari lalu.
Hujung minggu lalu, Pochettino terpaksa menyenaraikan tiga pemain berusia bawah 19 tahun yang tidak mempunyai pengalaman di bangku simpanannya serta dua penjaga gol, malah Cucurella terpaksa menarik diri akibat demam.
Namun, pertahanan itu akan dipastikan bersedia untuk menyambut Aston Villa ke Stamford Bridge, malam esok, sambil Armando Broja juga akan kembali untuk penampilan pertamanya sejak mengalami kecederaan ligamen lutut pada Disember lalu.
Penggempur baru, Christopher Nkunku, yang tercedera ketika menentang Borussia Dortmund dalam jelajah pra-musim di Amerika Syarikat dan tidak mungkin membuat penampilan sulung kompetitif sebelum Disember.
Ketua pasukan, Reece James, Romeo Lavia dan Wesley Fofana juga tercicir dalam skuad, begitu juga Carney Chukwuemeka yang menjaringkan gol pertamanya untuk kelab menentang West Ham sebelum dibelenggu masalah lutut.
Trevoh Chalobah juga masih tercedera dengan Benoit Badiashile telah kembali menjalani latihan bersama pasukan, manakala situasi Caicedo akan dinilai pada hari ini.
“Sebelum tiba di sini, kami melakukan segala-galanya untuk mencuba dan mempunyai idea yang jelas mengapa berlaku terlalu banyak kecederaan musim lalu, jadi menganalisis risikonya,” kata Pochettino.

The following injury update has been provided ahead of #CheAvl.

— Chelsea FC (@ChelseaFC) September 22, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
“Ia mengenai profil pemain, risiko pemain. Ia bukan berpunca daripada jabatan perubatan.
“Saya fikir kami perlu menghormati bidang ini kerana mereka cukup profesional, mereka adalah orang yang berkelayakan. Itulah sebabnya mereka terbabit dalam bola sepak. Tetapi terdapat risiko individu kepada pemain tertentu, kami perlu menilainya.
"Kemudian terdapat juga nasib malang. Kami menanggung kecederaan yang mungkin berlaku dalam semusim dua tetapi ia kerap berlaku atas situasi berbeza yang di luar kawalan kami.
“Christopher diterjah ketika menentang Dortmund, dia perlu berehat selama tiga hingga empat bulan sedangkan pada awal permainan, dia cergas dan kuat.
“Organisasi dalam bola sepak sangat profesional dan kami perlu menghormatinya. Kadang-kadang perkara seperti ini berlaku dan sukar untuk dinilai."
#Chelsea #Mauricio Pochettino #krisis kecederaan #EPL
;