PM ucap tahniah kejayaan beregu campuran badminton negara mara ke final
Bernama
Ogos 16, 2016 14:46 MYT
Ogos 16, 2016 14:46 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan tahniah kepada pasukan badminton beregu campuran Malaysia kerana mengharumkan nama negara dengan mara ke peringkat akhir Sukan Olimpik di Rio de Janeiro.
"Tahniah Chan Peng Soon & @gohliuying bawa #MAS ke final! What a performance! Selangkah lg menuju emas #Olympics #Rio2016 #KamiTeamMalaysia," katanya menerusi akaun Twitternya @NajibRazak, hari ini.
Malaysia mengesahkan sekurang-kurangnya pingat perak dalam acara badminton selepas beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pada Isnin mara ke final dalam acara itu.
Pasangan negara mengetepikan cabaran Xu Chen-Maj Jin dari China, 21-12, 21-19 dalam aksi separuh akhir mereka.
Peng Soon-Liu Ying akan menentang pasangan Indonesia, Tontowi Ahmad-Lilyana Natsir dalam perlawanan akhir Rabu ini.
Gandingan Indonesia itu menempah tiket ke final selepas menjinakkan pilihan utama, Zhang Nan-Zhao Yunlei, 21-16, 21-15 dalam satu lagi aksi separuh akhir.