PM Romania ancam boikot upacara penutup Sukan Olimpik
Sinar Harian
Ogos 7, 2024 10:40 MYT
Ogos 7, 2024 10:40 MYT
PERDANA Menteri Romania mengancam untuk memboikot upacara penutup Sukan Olimpik 2024 di Paris selepas mendakwa berlaku ketidakadilan terhadap dua gimnas negara tersebut.
Marcel Ciolacu meluahkan kemarahan terhadap apa yang dikatanya sebagai 'situasi memalukan' melibatkan Ana Barbosu dan Sabrina Voinea setelah mereka gagal meraih pingat dalam acara senaman lantai wanita.
“Saya memutuskan untuk tidak menghadiri majlis penutupan Sukan Olimpik Paris susulan skandal dalam gimnastik.
“Atlet kami dilayan dengan cara yang sangat tidak dihormati,” kata Ciolacu dalam catatan Facebook.
Ana pada mulanya diumumkan memenangi pingat gangsa dan mengibarkan bendera Romania sebagai meraikan kejayaan.
Namun protes yang dikemukakan gimnas Amerika Syarikat, Jordan Chiles meningkatkan markah kesukarannya dan menolak Ana ke kedudukan keempat dan Sabrina ke tempat kelima.
Ana yang terkejut kemudian menutup muka dengan tangan berjalan meninggalkan gelanggang sambil menangis.
Ciolacu berjanji Romania akan memberi penghormatan kepada Ana dan Sabrina sebagai pemenang pingat Olimpik selain imbuhan berupa hadiah.
“Seluruh negara bersama anda di mana usaha dan air mata anda lebih berharga daripada mana-mana pingat,” ujar Ciolacu.
Dalam pada itu, Sabrina, 17, yang mengemukakan rayuan juga tidak berjaya, mengadu bahawa beliau telah dikenakan penalti yang tidak adil.
Legenda gimnastik Romania, Nadia Comaneci turut menyelar kontroversi tersebut.
“Romania adalah kuasa besar lama dalam gimnastik dan insiden itu menjejaskan kesihatan mental gimnas,” catat beliau menerusi laman X. - Sinar Harian