PM minta Annuar Musa tampil bantu KAFA

Astro Awani
Disember 21, 2016 12:47 MYT
Keputusan sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga M untuk musim depan akan dibuat menerusi kongres luar biasa KAFA yang dijadualkan berlangsung pada 29 Dis ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta bekas presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa supaya tampil membantu pasukan negeri itu dari terus ditimpa nasib malang.
Ia susulan kebimbangan beliau berhubung desas desus penarikan diri persatuan bola sepak negeri antaranya Kelantan, daripada Liga Malaysia (Liga M) gara-gara masalah kewangan.
Menurut beliau, bola sepak merupakan sukan rakyat nombor satu di Malaysia, maka adalah penting untuk semua pihak memastikan sukan itu terus berkembang maju.
"Berkenaan KAFA, saya difahamkan masalah ini timbul berikutan peletakan jawatan Tan Sri Annuar Musa sebagai Presiden.
"Saya telah minta Tan Sri untuk membantu KAFA, agar tidak menghampakan harapan ribuan peminat The Red Warriors," kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Beliau juga berharap agar KAFA dan persatuan bola sepak negeri lain yang turut mengalami masalah sama, dapat mencari jalan penyelesaian terhadap isu ini.
"Kita tidak boleh menghampakan berjuta peminat bola sepak negara ini terutamanya generasi muda.
"Insya-Allah, dengan adanya persepakatan yang baik serta keikhlasan semua pihak, kita akan dapat mencari jalan keluar dari masalah ini," tambah Najib.
Media baru-baru ini melaporkan bahawa KAFA memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu bagi musim depan dan difahamkan persatuan itu ketika ini hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil.
Keputusan sama ada Kelantan akan menarik diri daripada menyertai Liga M untuk musim depan akan dibuat menerusi kongres luar biasa KAFA yang dijadualkan berlangsung pada 29 Dis ini.
Selain itu, difahamkan pasukan Selangor juga mungkin terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu sekiranya gagal mendapat sokongan kerajaan negeri tersebut.
Bagaimanapun menurut Utusan Online, Sarawak yang juga dikatakan mempunyai masalah kewangan, tidak akan menarik diri dalam Liga M musim depan walaupun terpaksa menanggung kos pengangkutan yang tinggi setiap kali bermain di tempat lawan.
#bola sepak #KAFA #Kelantan #Liga Malaysia #Najib Tun Razak #Perdana Menteri
;