PM mahu Shaaban teruskan impian jadi jurulatih golf
Astro Awani
September 4, 2016 19:06 MYT
September 4, 2016 19:06 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pemain golf negara, Shaaban Hussin akan menjadi jurulatih golf membuka akademinya sendiri.
Dengan dana sumbangan RM500,000 yang berjaya dikutip menerusi Pertandingan Golf Amal Shaaban Hussin, beliau berharap ia dapat membantu pemain golf kebangsaan itu yang kehilangan kaki kirinya akibat kemalangan jalan raya.
Pertandingan golf yang dikenali sebagai 'Shaaban Hussin Golf Charity Pro-Am' merupakan cetusan idea daripada Perdana Menteri sendiri selepas menziarahi Shaaban di Hospital Kuala Lumpur (HKL), April lalu.
"Adalah harapan saya secara peribadi selepas menziarahinya pada 5 April lalu supaya Shaaban memulakan karier barunya sebagai jurulatih golf dan mungkin suatu hari nanti membuka akademi golf di bawah namanya sendiri.
"Dengan itu, dia boleh menjadi sumber inspirasi kepada kita semua khususnya generasi muda," katanya ketika berucap pada kejohanan golf 'Shaaban Hussin Golf Charity Pro-Am' di sini, hari ini.
Dalam kejohanan itu, sejumlah RM407,000 berjaya dikutip bagi membiayai pemulihan jangka panjang bagi Shaaban dan bantuan pendidikan bagi dua anak lelakinya.
Pada majlis berkenaan, Perdana Menteri turut mengumumkan sumbangan tambahan sebanyak RM93,000 yang menjadikan dana keseluruhan bagi membantu bekas pemain golf negara itu berjumlah RM500,000.
Bagi Shaaban, beliau sememangnya menyimpan hasrat menjadi jurulatih golf khususnya sejak berlaku insiden yang mengubah hidupnya itu.
"Sebelum ini saya memang bercadang untuk menyertai Olimpik tetapi apabila jadi macam ini, impian saya tidak tercapai tetapi InsyaAllah ramai lagi pemain golf muda yang ada. Walaupun saya tidak pergi tetapi budak-budak saya akan pergi satu hari nanti menggantikan saya.
"Jadi bagi saya, Olimpik tetap akan sampai pada saya, tetapi bukan saya tetapi budak-budak saya," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada kejohanan golf berkenaan.
Kaki kiri Shaaban terpaksa dipotong selepas mengalami kecederaan apabila motorsikal yang ditunggangnya terbabas berhampiran selatan keluar Rawang di Lebuhraya Utara-Selatan, Mac lalu.
Shaaban adalah pemenang tempat kedua dalam siri Jelajah Asia di Kejohanan Terbuka Kemboja pada tahun 2009.
Beliau juga memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2001 dan tiga kali menyertai siri Jelajah PGA AS CIMB Classic dari 2010 hingga 2012.