PM Jepun nafi utamakan sukan Olimpik
Agensi
Mei 10, 2021 12:28 MYT
Mei 10, 2021 12:28 MYT
TOKYO: Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga menafikan beliau lebih 'mengutamakan sukan Olimpik' berbanding keselamatan rakyat negara itu.
Lapor Reuters, penafian itu hadir ketika tinjauan pendapat menunjukkan hampir 60 peratus rakyat Jepun mahu sukan Olimpik dibatalkan, kurang dari tiga bulan sebelum ia bermula.
Ditanya dalam mesyuarat jawatankuasa parlimen sama ada sukan Olimpik akan diteruskan walaupun jangkitan COVID-19 meningkat, Yoshihide menjawab beliau tidak pernah mengutamakan Olimpik.
"Keutamaan saya adalah melindungi kehidupan dan kesihatan penduduk Jepun. Kita mesti terlebih dahulu mencegah penyebaran virus," tambahnya.
Jepun telah melanjutkan tempoh darurat di Tokyo sehingga akhir Mei dan sedang berusaha untuk mengekang lonjakan kes COVID-19.
Ini sekaligus menimbulkan persoalan lanjut sama ada temasya sukan berprestij itu perlu diteruskan ketika mana kadar vaksinasi di Jepun merupakan antara yang terendah dalam kalangan negara kaya.
Pegawai Olimpik Antarabangsa, penganjur Olimpik Tokyo dan Yoshihide sendiri telah menegaskan bahawa sukan tersebut akan berlangsung dengan cara yang 'selamat dan terjamin'.
Penonton asing telah dilarang untuk menyertai sukan itu malah penganjur mengeluarkan buku panduan peraturan yang terperinci bulan lalu yang bertujuan mencegah jangkitan COVID-19.
Bagaimanapun tinjauan pendapat umum yang dilakukan dari 7 hingga 9 Mei oleh Yomiuri Shimbun setiap hari menunjukkan 59 peratus rakyat Jepun mahu sukan Olimpik dibatalkan berbanding hanya 39 peratus mahu meneruskannya.
Tinjauan itu bagaimanapun tidak mencadangkan 'penangguhan' sebagai pilihan.
Tinjauan yang dilakukan hujung minggu oleh TBS News mendapati 65 peratus mahu sukan Olimpik dibatal atau ditangguhkan lagi, dengan 37 peratus mengundi untuk membatalkan acara itu sepenuhnya.
Manakala 28 peratus lagi meminta penundaan sukan tersebut.
Lebih 300,000 individu telah menandatangani petisyen untuk membatalkan temasya tersebut sejak pelancarannya.
Dia mengulangi bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) memiliki keputusan terakhir mengenai nasib temasya itu dan peranan pemerintah adalah untuk mengambil langkah-langkah agar ia dapat diadakan dengan selamat.
Tinjauan TBS mendapati bahawa kadar kelulusan awam Yoshihide berada pada 40 peratus, hampir dengan paras terendah yang dicatatkan awal tahun ini.
Sukan Olimpik akan bermula pada 23 Julai dan berlangsung sehingga 8 Ogos.