PM doakan Faisal Halim segera sembuh
Bernama
Mei 7, 2024 06:00 MYT
Mei 7, 2024 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendoakan tonggak skuad Harimau Malaya Faisal Halim dikurniakan afiyah segera dan dapat kembali meneruskan perjuangan dalam sukan bola sepak.
Menerusi hantaran ringkas di Facebook, Anwar memaklumkan, Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi mewakili beliau menziarahi Faisal yang dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat disimbah asid.
"Mendoakan agar saudara Faisal dikurniakan afiyah sesegera mungkin dan dapat kembali meneruskan perjuangannya dalam sukan bola sepak,” menurut hantaran itu.
Faisal, atau lebih dikenali sebagai Mickey, telah disimbah asid dalam insiden di sebuah pusat membeli-belah di Damansara pada Ahad lepas.
Menerusi gambar yang tular di media sosial, pemain Selangor FC itu kelihatan mengalami kecederaan di badan dan tangan akibat insiden tersebut dan beliau kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan.
- BERNAMA