PM Anwar ucap tahniah kepada JDT menang Piala FA

Bernama
Ogos 25, 2024 18:00 MYT
Kejayaan Harimau Selatan merangkul trofi Piala FA 2024/25 menyaksikan skuad di bawah kendalian Hector Bidoglio itu meraih kemenangan hatrik. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengucapkan tahniah kepada pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) atas pencapaian menjulang Piala FA selepas menewaskan Selangor FC di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini semalam.
Dalam hantaran di Facebook, Perdana Menteri turut meluahkan rasa kagum dengan samangat yang ditampilkan pasukan Gergasi Merah dalam perlawanan tersebut.
"Tahniah JDT yang memenangi pertandingan semalam. Kekalkan tradisi sukan untuk memupuk perpaduan. Kagum dengan semangat pasukan Selangor," katanya dalam hantaran itu.
Kejayaan Harimau Selatan merangkul trofi Piala FA 2024/25 dengan membelasah Selangor 6-1 semalam menyaksikan skuad di bawah kendalian Hector Bidoglio itu meraih kemenangan hatrik selepas turut mengungguli piala berprestij itu pada edisi 2022 dan 2023.
JDT memperoleh kemenangan menerusi jaringan hatrik Juan Muniz serta Arif Aiman Hanafi, Bergson Da Silva dan Heberty Fernandes manakala Selangor FC memperoleh gol menerusi Alvin Fortes.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim #JDT #ucapan tahniah #Piala FA