Plymouth Argyle pertaruh magis Rooney

Sinar Harian
Mei 26, 2024 09:00 MYT
Sebagai pemain, Rooney menjaringkan 253 gol untuk Manchester United, memenangi lima kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara dan menjaringkan 53 gol untuk pasukan kebangsaan England. - Gambar fail REUTERS
BEKAS penyerang Manchester United dan England, Wayne Rooney dilantik sebagai pengendali Plymouth Argyle, kata kelab Liga Kejuaraan itu.
Rooney menggantikan Ian Foster yang dipecat pada April selepas hanya tiga bulan memegang jawatan itu.
Argyle menduduki tempat ke-21 dalam kedudukan Liga Kejuaraan, mengelak penyingkiran dengan satu mata.
“Sepanjang proses temu duga, Wayne menunjukkan dirinya sebagai calon yang bersemangat, bijak dan berpengetahuan dengan keinginan untuk membuktikan dirinya dan mengembangkan kerjaya pengurusannya.
“Sehinggakan dia menghubungi lembaga pengarah ketika kami memulakan proses ini dan tertarik dengan projek yang sedang dijalankan dan menunjukkan rancangan sebenar bagaimana untuk memimpin kelab bola sepak itu ke hadapan,” kata pengerusi Argyle, Simon Hallett dalam satu kenyataan.
Rooney sebelum ini pernah menguruskan Birmingham City, Derby County dan kelab Liga Bolasepak Utama (MLS) DC United.
“Mengambil peranan ini di Plymouth Argyle terasa seperti langkah yang sempurna dalam karier saya – dan saya ingin ucap terima kasih kepada pengerusi dan lembaga pengarah atas kepercayaan yang mereka tunjukkan kepada saya,” kata Rooney dalam satu kenyataan.
Sebagai pemain, Rooney menjaringkan 253 gol untuk United, memenangi lima kejuaraan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara bersama kelab Old Trafford itu. Dia juga menjaringkan 53 gol untuk pasukan kebangsaan England. - Sinar Harian
#Wayne Rooney #Plymouth Argyle #Ian Foster #bola sepak
;