Play-off kelayakan Piala Dunia: Hatrik Shahrel Fikri bantu Malaysia benamkan Timor Leste

Astro Arena
Jun 11, 2019 23:04 MYT
Shahrel Fikri (tengah) meraikan jaringannya ketika menentang pasukan Timor-Leste pada Perlawanan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini. - Foto BERNAMA
Malaysia menepati ramalan apabila mudah menundukkan Timor Leste 5-1 dalam aksi kedua saingan playoff Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Bukit Jalil sebentar tadi.
Hatrik daripada penyerang Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi, serta satu gol daripada Mohamadou Sumareh dan Akhyar Rashid membolehkan Malaysia lima kali membolosi gawang lawan sambil Rufino Gama menyumbat gol saguhati buat Timor Leste dalam perlawanan yang menyaksikan setiap pasukan gagal menyempurnakan sepakan penalti.
Setelah meraih kemenangan selesa 7-1 dalam pertemuan pertama, pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, melakukan empat pertukaran dalam kesebelasan utama termasuk posisi penjaga gol.
Ifwat Akmal Chek Kassim, Syazwan Andik, Shahrel Fikri dan Akhyar masing-masing diberikan peluang oleh Cheng Hoe tatkala Corbin Ong, Syafiq Ahmad, Safawi Rasid serta kapten, Farizal Marlias, direhatkan.
Malaysia menguji benteng lawan seawal minit kedua apabila serangan dari sebelah kanan membolehkan pemain negara memasuki kotak penalti tetapi hantaran lintang Matthew Davies pantas dihalang penjaga gol tuan rumah, Aderito Fernandes.
Bagaimanapun, memiliki kelebihan enam gol ternyata belum puas buat Harimau Malaya apabila Shahrel Fikri yang menerima hantaran Akhyar mudah menolak masuk gol pembukaan di minit ke-11.
Timor Leste kendalian Norio Tsukitate itu hampir menyamakan kedudukan seminit kemudian setelah kapten, Joao Pedro, memperdayakan Matthew sebelum bola lariannya dinafikan Ifwat dan percubaan Rufino selepas itu tinggi melewati palang gawang.
Sebaliknya, Shahrel Fikri menambah koleksi jaringan di minit ke-17, kali ini menerusi tandukan hasil daripada sepakan penjuru di sebelah kanan.
Gawang Malaysia hampir bocor tatkala Timor Leste dianugerahkan sepakan penalti di minit ke-30 selepas Ifwat Akmal menjatuhkan Osvaldo Belo yang menyaksikan penjaga gol Kedah itu dilayangkan kad kuning tetapi dia merebahkan badan untuk menangkap bola tendangan Pedro.
Sekali lagi, tatkala Timor Leste terus berusaha merapatkan jurang, Malaysia menghukum kealpaan lawan menerusi gol ketiga apabila Sumareh menyambut hantaran Syazwan sebelum menewaskan Fernandes tujuh minit kemudian.
Bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar, hanya memerlukan 10 minit selepas rehat untuk terus meletakkan Malaysia dalam kedudukan selesa menerusi rembatan kaki kanan yang gagal dihalang Fernandes, menjadikan kedudukan 4-0.
Kelincahan Akhyar sejak awal permainan nyata memberi masalah buat tuan rumah sehingga memaksa Danilson Araujo menjatuhkannya dalam kotak penalti di minit ke-59, namun Shahrel Fikri gagal menyempurnakan peluang terhidang.
Bagaimanapun, bekas penyerang kelab Nakhon Ratchasima dari Thailand, Shahrel Fikri, menebus kehampaan itu lima minit kemudian setelah menyambut hantaran ke depan daripada pemain gantian, Syamer Kutty Abba, sebelum melepaskan rembatan kaki kiri sekali gus menjadikan kedudukan 5-0 dan meraih hatrik pertamanya buat Harimau Malaya.
Timor Leste meraih gol saguhati di minit ke-72 apabila Rufino melonjak tinggi menanduk masuk bola hantaran Danilson tetapi tetap gagal mengekang anak buah Cheng Hoe daripada meraih kemenangan 5-1 serta mencatat keputusan 12-2 secara agregat.
"Saya rasa ia satu keputusan yang baik untuk layak ke kelayakan seterusnya tetapi masih banyak perlu diperbaiki daripada segi konsentrasi dan fokus setiap minit. Harap selepas ini pemain sedia menghadapi kelayakan seterusnya," ujar Cheng Hoe.
"Perlawanan sudah berakhir. Saya hanya memikirkan tentang aksi sebelum ini. Pemain melakukan yang terbaik dan dalam babak kedua, mereka mempamerkan aksi yang bagus," kata Tsukitate.
#harimau Malaya #Malaysia #Play-off kelayakan Piala Dunia #Shahrel Fikri Md Fauzi #Stadium Bukit Jalil #Tan Cheng Hoe #Timor Leste
;