Platini tarik balik sokongan terhadap Sepp Blatter

Agensi
Jun 13, 2014 15:23 MYT
Platini menganggap sudah tiba masa untuk Blatter bersara
Presiden UEFA, Michel Platini menarik balik sokongannya kepada Presiden FIFA, Sepp Blatter. Tindakannya itu mencampakkan bolasepak dunia ke jalan perang.
"Saya tidak lagi menyokongnya," kata Platini. "Dia tahu tentang ini, saya sudah beritahu dia. Saya fikir FIFA perlukan nafas baru."
Platini minggu lalu terpaksa tampil untuk menafikan bahawa beliau dipaksa oleh bekas Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy untuk mengundi Qatar dalam pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2022 yang penuh kontroversi dan terpalit skandal rasuah.
Menurut Platini, beliau setuju dengan pandangan rakan-rakan ahli UEFA bahawa masanya sudah sampai untuk Blatter bersara. Blatter, 78, menerajui FIFA sejak 1998 dan mandatnya sekarang berakhir tahun depan.
"Saya setuju dengan pendirian Eropah," kata Platini. "Satu mandat baru kepada (Blatter) mudarat untuk bolasepak dunia. Tetapi dia tetap perlu dihormati dan saya sangat menghormatinya."
Blatter, yang berdepan tekanan berhubung pemilihan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022, mengumumkan kepada Kongres FIFA di Sao Paulo tentang kesediaannya mempertahankan jawatan. Beliau pada 2011 bagaimanapun mengumumkan tidak akan bertanding semula untuk penggal kelima.
"Saya sedia bersama anda untuk masa depan," katanya kepada anggota FIFA. Sesetengah hadirin menyambut pengumumannya itu dengan ejekan.
Beberapa anggota UEFA sebelum ini secara terbuka menempelak Blatter. Mereka mempertahankan siasatan yang dijalankan oleh sebuah akhbar Britain mengenai pemilihan Qatar sebagai tuan rumah Piala Dunia 2022. Mereka menyifatkan tuduhan Blatter bahawa akhbar itu perkauman sebagai tidak berasas.
Platini bagaimanapun belum menyatakan kesediaan untuk bertandinh jawatan Presiden FIFA.
Pada masa ini hanya ada seorang calon iaitu bekas setiausaha agung FIFA, Jerome Champagne.
Blatter sememangnya seorang tokoh penuh kontroversi. FIFA yang dipimpinnya pula, yang memantau industri bernilai berbilion dolar, tidak pernah lekang dengan skandal.
Tidak lama sebelum Piala Dunia 2014 bermula, akhbar Sunday Times di Britain menerbitkan siri laporan mendedahkan ada rasuah dalam pemilihan Qatar sebagai tuan rumah 2022. Qatar menafikan laporan itu.
#FIFA #Michel Platini #Sepp Blatter #UEFA
;