PKNS fokus dalam misi cipta kejutan ke atas JDT
Astro Arena
Mei 10, 2016 14:55 MYT
Mei 10, 2016 14:55 MYT
"PEMAIN sudah bersedia."
Itu tegas jurulatih PKNS, E. Elavarasan, sambil dia melewati fasa mudah dalam merencanakan pasukannya memandangkan pentas final Piala FA adalah perkara terbaik yang pernah berlaku untuk PKNS musim ini.
Elavarasan lega semangat tinggi barisan pemainnya memudahkan perancangannya dalam membentuk strategi terbaik menjelang aksi final Piala FA bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Sabtu ini.
Dia juga yang belum pernah membawa pasukan ke pentas final, mengakui reaksi positif pemainnya kali ini memudahkan tugasnya, terutama membabitkan arahan di atas padang.
"Dalam perlawanan menentang JDT ini, setiap pemain perlu memberikan tumpuan sepanjang perlawanan," katanya.
Barisan PKNS tampak begitu fokus dalam misi mereka untuk mencipta kejutan ke atas JDT, namun segala-galanya disempurnakan dengan mudah tanpa sebarang tekanan.
Tegas Elavarasan, dia mahu mengelak rasa tertekan ke atas pemain dengan berulang kali menegaskan, aksi pada Sabtu hanyalah sebuah perlawanan yang perlu disudahkan dengan kemenangan.
"Pemain tidak tertekan, semua pemain mengambil perlawanan sama seperti perlawanan lain dan mereka mahu menang dalam perlawanan ini," ujarnya.