PKBM tak panik prestasi Azizulhasni

Sinar Harian
Ogos 15, 2023 09:45 MYT
Azizulhasni beraksi pada pusingan pertama acara keirin Kejohanan Berbasikal Dunia 2023 di Velodrom Sir Chris Hoy di Glasgow minggu lalu. Gambar kecil: Abu Samah. - Foto Sinar Harian
PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak panik dengan prestasi jaguh trek, Datuk Azizulhasni Awang pada Kejohanan Dunia 2023 di Glasgow, Scotland baru-baru ini.
Sebaliknya, Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab percaya Azizulhasni mampu kembali bangkit menebus kekecewaannya pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di China bulan depan.
“Bagi saya, PKBM tidak kecewa langsung atau berasa panik dengan keputusan yang dicapai Azizulhasni di Glasgow minggu lalu. Azizulhasni sudah memberikan persembahan yang baik.
“Seperti yang kita tahu, Azizulhasni tidak bernasib baik apabila kemenangannya dalam acara pecut individu (pusingan kedua) ketika menentang pelumba Australia (Thomas Cornish) dibatalkan.
“Begitu juga dalam acara keirin apabila dia tidak mendapat rehat yang cukup ketika aksi separuh akhir. Itu antara penyebab Azizulhasni gagal ke final,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Ketika bersaing pada pusingan kedua acara pecut individu, kemenangan Azizulhasni ke atas Cornish dibatalkan selepas didakwa melakukan kesalahan apabila memasuki lorong pencabarnya itu di laluan lurus selepas selekoh terakhir.
Tampil dalam acara kegemarannya, keirin, Azizulhasni bermula garang apabila gah mengungguli pusingan pertama, sekali gus melayakkan diri secara automatik ke saingan suku akhir.
Dalam aksi suku akhir, pelumba yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman itu berjaya menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik untuk mara ke separuh akhir.
Namun, Azizulhasni gagal 'menyelit' dalam kelompok tiga terbaik di peringkat separuh akhir yang menyaksikan penyandang juara, Harrie Lavreysen dari Belanda, Jack Carlin (Britain) dan Kevin Quintero (Colombia) meloloskan diri ke final.
Dalam aksi klasifikasi tempat ketujuh hingga ke-12, Azizulhasni mengakhiri perjuangannya di Velodrom Sir Chris Hoy di tempat kesembilan di belakang pelumba Australia, Matthew Glaetzer dan Kaiya Ota dari Jepun.
Dengan penampilan terakhir pada Kejohanan Dunia, Azizulhasni yang juga juara keirin dunia edisi 2017 menoktahkan misinya dengan menduduki tangga kesembilan dalam acara keirin dan pecut individu.
“Saya yakin bersandarkan semangat luar biasa yang ada dalam diri Azizulhasni, dia mampu mencipta kejayaan pada Sukan Asia di Hangzhou seperti mana yang dilakukan ketika meraih dua emas pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) Jun lalu.
“Fokus Azizulhasni kini bukan sahaja Sukan Asia di Hangzhou, malahan dia turut dalam persediaan terbaik untuk menghadapi Sukan Olimpik di Paris tahun depan,” ujar Abu Samah.
Pada ACC 2023, Azizulhasni membuktikan statusnya selaku legenda Asia apabila merekodkan keseluruhan 11 pingat emas termasuk menyambar emas acara keirin dan pecut individu di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan, Jun lalu.
Azizulhasni menjadi sandaran kontinjen Malaysia apabila sekali lagi diletakkan sebagai antara prospek dalam menyumbang emas sulung pada Sukan Olimpik Paris 2024. - Sinar Harian
#Azizulhasni Awang #Sukan Asia Hangzhou 2022 #Abu Samah Abd Wahab #pelumba basikal
;