PKBM harap kes penggantungan pelumba tidak berulang

Bernama
November 20, 2016 20:45 MYT
ABU SAMAH: Kita berharap ia yang pertama dan terakhir. Kita bertindak begini kerana berlaku pelanggaran peraturan. - Foto Bernama
Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mahu penggantungan pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Zamri Salleh menjadi kes pertama dan terakhir dalam sejarah badan induk itu, bagi menjaga kepentingan semua pihak.
Presidennya, Datuk Abu Samah Abd Wahab menegaskan pihaknya tidak pernah tergesa-gesa mengambil tindakan apabila berlaku pelanggaran atau pencabulan peraturan seperti yang dicetuskan pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2009 di Laos itu.
"Selama saya menjadi Presiden PKBM, hanya Mohd Zamri yang digantung dan kita berharap ia yang pertama dan terakhir. Kita bertindak begini kerana berlaku pelanggaran peraturan.
"Datuk Amarjit Singh (Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib PKBM) telah kemukakan laporan yang menyeluruh dan teliti.
"Kami tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas sekiranya masih ada pelumba yang berdegil dan enggan menghormati persatuan," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Zamri digantung tiga bulan bermula 24 Okt lalu selepas Jawatankuasa Tatatertib memutuskan dia bersalah kerana mengkritik PKBM menerusi laman sosial Facebooknya, berkaitan kelewatan pembayaran hadiah kemenangan Jelajah Malaysia 2013.
Bagaimanapun, Abu Samah berkata Mesyuarat Exco PKBM kelmarin yang dipengerusikannya, sebulat suara memutuskan untuk mengurangkan penggantungan yang dikenakan ke atas Mohd Zamri kepada sebulan dan akan berakhir pada 31 Dis ini.
Abu Samah, yang juga Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), turut bercadang bertemu beberapa pelumba bagi menjelaskan isu sebenar untuk mengelakkan kekeliruan.
"Saya juga telah berbincang dengan pihak atasan TSG. Kami jelaskan sekiranya berlaku sebarang kekeliruan atau kekusutan melibatkan pelumba TSG dan PKBM, penyelesaiannya harus menerusi perbincangan, bukan hentam menghentam dalam Facebook.
"Saya berharap pengurusan dan pelumba TSG memahami keadaan kami," katanya.
-- BERNAMA
#Abu Samah Abd Wahab #PKBM #sukan berbasikal #Terengganu Cycling Team #TSG
;