PKBM bantah cadangan buang sukan basikal dari Olimpik
Syafique Shuib
Januari 19, 2013 12:16 MYT
Januari 19, 2013 12:16 MYT
“Gila ke?”
Itulah reaksi awal Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Naim Mohamad ketika diminta reaksi jikalau acara lumba basikal dikeluarkan dari temasya Olimpik.
Susulan pengakuan penggunaan bahan terlarang oleh Lance Armstrong dalam program bual bicara bersama hos terkenal Oprah Winfrey, ahli Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa Dick Pound mengecam cara Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) mengendali isu doping lumba basikal. Beliau juga bercadang untuk menarik penyertaan sukan tersebut dari temasya Olimpik.
“Kita perlu menimbangkan perkara ini secara terperinci. Kesalahan itu timbul dari mana? Siapa yang bertanggungjawab? Sesuatu cadangan itu perlu mendapatkan pandangan yang menyeluruh," kata Naim.
“Saya tidak nampak kenapa kesalahan Lance Armstrong itu hendak dikaitkan dengan pengeluaran UCI daripada temasya Olimpik. Itu tidak munasabah. Nak mengeluarkan sukan itu sewenang-wenangnya dengan tujuan apa?” tanya beliau.
Tegas Naim, pihak PKBM, Konfiderasi Berbasikal Asia dan UCI sentiasa memastikan nama sukan dan pelumba-pelumba berbasikal ini bebas dari penggunaan barang yang dilarang.
“Setiap pelumba ada rekod biologi yang boleh disemak pada bila-bila masa dan pegawai-pegawai kami boleh memeriksa pelumba-pelumba pada bila-bila masa, termasuk ketika waktu peribadi,” kata Naim.
Acara berbasikal juga adalah antara empat acara sukan yang sudah dikenalpasti sebagai mempunyai atlet yang cemerlang dari peringkat antarabangsa dan mempunyai peluang yang cerah untuk meraih pingat di temasya yang besar seperti Olimpik.
“Kita telah membersihkan nama sukan ini dan sudah mencapai kejayaan yang sangat besar, oleh kerana tindakan kita ini, kenapa pula kita perlu dipersalahkan,” tambah Naim lagi.