PJS tuntut ASTAF kemuka dokumen salah urus tadbir PSM

Astro Arena
Mei 1, 2021 08:52 MYT
IBRAHIM: Memang terdapat cadangan untuk menubuhkan PSM yang baru tetapi pada pandangan saya, ia tiada keperluan buat masa ini memandangkan PSM masih lagi badan induk yang sah. - Astro ARENA
KONFLIK di antara Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) berterusan dengan yang terbaru, Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS), Ibrahim Mohd Yusof, meminta badan induk Asia itu untuk mengemukakan dokumen berkaitan salah urus tadbir dalam PSM.
PJS turut memberikan penjelasan mengenai ura-ura berkenaan penubuhan sebuah entiti baru bagi menggantikan PSM menguruskan hal ehwal sepak takraw negara, di mana ia tidak semudah yang disangka untuk membubarkan sebuah persatuan sukan atau dua badan berlainan menguruskan satu jenis sukan.
Kelmarin, ASTAF mengambil tindakan menggantung PSM selama 14 hari kerana mendakwa presiden badan induk negara itu, Datuk Seri Ahmad Ismail (Tok Mat), telah mengeluarkan kenyataan yang boleh menjatuhkan reputasi ASTAF.
Salah satu pertuduhan ke atas Tok Mat adalah melanggar artikel 5.5. menerusi kenyataan bertulis pada 24 Februari lalu kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Jawatankuasa Olimpik Antarbangsa (IOC) bagi tujuan mendapatkan campur tangan kedua-dua badan itu dalam sesi pemilihan Kongres ASTAF pada 1 Mac lalu.
Sebaik selesai pemilihan itu, Tok Mat mendakwa terdapat penipuan ketika kongres berlangsung sejurus dia di samping beberapa calon PSM lain tewas dalam perebutan jawatan masing-masing selain tidak menolak kemungkinan untuk membawa perkara itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
BACA: ASTAF boleh gantung Presiden PSM 'Tok Mat' seumur hidup
BACA: Abdul Halim kekal jawatan Presiden ASTAF, tiada wakil M'sia dalam barisan kepimpinan
BACA: Pengurus skuad sepak takraw wanita negara digantung lima tahun
Dalam satu temu bual Nadi Arena, PJS berkata: "Memang terdapat cadangan untuk menubuhkan PSM yang baru tetapi pada pandangan saya, ia tiada keperluan buat masa ini memandangkan PSM masih lagi badan induk yang sah.
"Jika hendak ditubuhkan satu persatuan baru, PSM itu sendiri perlu dibubarkan terlebih dahulu.
"Dan untuk membubarkannya, ahli jawatankuasa persatuan itu sendiri perlu mendapatkan persetujuan daripada kesemua ahli gabungan sedia ada.
"Itu adalah langkah pertama sebelum boleh mewujudkan persatuan baru.
"Buat masa ini, pihak PJS tidak menggalakkan untuk menubuhkan persatuan baru kerana sebaiknya, hanya ada satu persatuan untuk mengawal selia satu jenis sukan," katanya.
#PJS #PSM #Astaf #sepak takraw #entiti baru #Ibrahim Mohd Yusof #gantung #menjatuhkan reputasi #Ahmad Ismail #Mahkamah Timbang Tara Sukan #CAS #pemilihan #campur tangan #Kongres ASTAF #Rebut Jawatan #Pesuruhjaya Sukan
;