Pjaca dipinjamkan dengan nilai lebih RM7j

Astro Arena
Januari 5, 2018 11:35 MYT
Marko Pjaca. Foto Astro ARENA
SCHALKE melengkapkan perpindahan pemain sayap, Marko Pjaca, dari Juventus secara pinjaman hingga akhir musim ini.
Pasukan Bundesliga itu akan membayar €1 juta (RM4.82j) kepada juara Serie A berkenaan berserta bayaran bonus €500,000 (RM2.4j) lagi untuk membawa pemain antarabangsa Croatia itu ke Jerman.
Schalke dilaporkan berminat untuk memasukkan pilihan perpindahan tetap dalam perjanjian itu tetapi Juve menolak kerana mereka menganggap masa depannya adalah di Turin.
Bercakap kepada laman sesawang rasmi Schalke, Pjaca mendedahkan dia telah mendapatkan nasihat daripada Benedikt Howedes, yang menghabiskan seluruh kerjaya profesionalnya di Gelsenkirchen sebelum menyertai Juventus awal tahun ini.
"Dia (Howedes) banyak bercakap tentang perkara positif kelab dan peminat di sini," kata Pjaca.
"Jurulatih (Domenico Tedesco) banyak memberitahu saya tentang gaya permainan yang diketengahkannya dan saya suka dengannya. Ketika ini, saya hanya berharap dapat beraksi sebanyak mungkin."
"Kami gembira kerana Marko telah memutuskan untuk menyertai kami," kata Tedesco mengenai pemain itu yang turut dikaitkan dengan Anderlecht.
"Banyak kelab yang berminat terhadapnya. Dia membawa satu lagi kualiti kepada pasukan kami.
"Marko boleh digunakan dengan pelbagai cara, dia boleh bermain di sebalah kanan dan kiri serta nombor lapan atau di bahagian depan."
#bola sepak #Juventus #Marko Pjaca #pemain #perpindahan #pinjaman #Schalke
;