PJ City lanjutkan kontrak Kogileswaran
Bernama
Disember 27, 2021 05:13 MYT
Disember 27, 2021 05:13 MYT
KUALA LUMPUR: Penampilan menyerlah bersama Skuad Harimau Malaya dalam Piala AFF 2020 membolehkan M Kogileswaran Raj mendapat pelanjutan kontraknya dengan Petaling Jaya (PJ) City FC untuk mengharungi Liga Super 2022.
PJ City menerusi hantarannya di laman Facebook mengumumkan pemain sayap berusia 23 tahun kelahiran Kuala Lumpur itu kekal bersama Skuad Phoenix untuk tiga musim berturut-turut sejak menyertainya dari Pahang pada musim 2020.
"Kami dengan gembira mengumumkan kontrak Kogileswaran Raj sudah dilanjutkan. Seorang individu yang bekerja keras, memberikan 100 peratusnya di padang sehingga dipanggil untuk Piala AFF. Semoga berjaya pada musim hadapan," kata PJ City.
Kogileswaran Raj yang melakukan enam penampilan untuk Malaysia, menjaringkan dua gol buat Harimau Malaya dalam perlawanan Kumpulan B Piala AFF semasa menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan dan ketika tewas 1-4 kepada musuh ketat Indonesia dalam perlawanan akhir kumpulan.
Bagaimanapun, Malaysia gagal mara ke separuh akhir selepas menduduki tangga ketiga di belakang Indonesia dan Vietnam kerana hanya dua pasukan teratas layak ke peringkat itu.
-- BERNAMA