Pirlo puji Ronaldo sebagai contoh buat semua pemain
Astro Arena
November 22, 2020 11:17 MYT
November 22, 2020 11:17 MYT
CRISTIANO Ronaldo dianggap sebagai pemain yang dilahirkan sebagai seorang juara oleh Andrea Pirlo selepas penyerang bintang itu meneruskan rekod jaringannya dengan gol berganda ketika Juventus menewaskan Cagliari 2-0 dalam perlawanan Serie A awal pagi tadi.
Pemain kebangsaan Portugal itu menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit babak pertama untuk menghimpunkan keseluruhan lapan jaringan daripada enam penampilan dalam kesemua kejohanan musim ini.
Dalam proses itu, Ronaldo menjadi pemain Juve pertama menjaringkan gol dalam kelima-lima perlawanan pertama Serie A dalam semusim sejak era tiga mata bagi setiap kemenangan.
Gol berganda itu hadir daripada lima percubaan yang dilakukannya selain turut mencipta tiga lagi peluang buat rakan sepasukannya dan prestasinya itu mendapat pujian Pirlo.
"Dia seorang profesional yang hebat, kita semua tahu mengenainya," kata Pirlo kepada DAZN.
"Dia seorang juara sejati dan menjadi contoh buat semua di sekelilingnya, sama ada dalam perlawanan atau dalam latihan.
"Satu-satunya nasihat saya kepadanya adalah untuk meneruskan perkara seperti itu," katanya.
Juventus turut memperoleh gol daripada Federico Bernardeschi yang dibatalkan kerana ofsaid dan menguji penjaga gol lawan, Alessio Cragno, sebanyak lima kali sepanjang perlawanan di Stadium Allianz itu.
Ia satu perlawanan yang didominasi Juve dengan sembilan pemain mereka menyentuh bola sekurang-kurangnya sebanyak 60 kali -- hanya satu rekod lebih baik pernah dilakukan mereka ketika menentang Bologna pada 2018.
Juara bertahan itu kini berada di tangga kedua selepas memenangi empat daripada lapan perlawanan di bawah kendalian Pirlo, yang gembira apabila pasukannya kini sudah faham dengan idea baru yang diterapkannya.
"Terdapat banyak kualiti dalam skuad ini tetapi itu sahaja tidak memadai.
"Jika kami mahu mendominasi permainan, kami perlu bergerak bersama bola dengan pantas dari satu bahagian di satu bahagian.
"Pemain kami sudah mula menikmati gaya permainan ini. Apabila kami memegang bola, kami perlu meletakkan pihak lawan di belakang.
"Kami sudah mencuba gaya permainan menekan seperti ini sejak perlawanan pertama tetapi tidak mempunyai banyak masa untuk melakukannya.
"Ia tentang memenangi kembali bola secepat mungkin untuk terus melakukan tekanan," katanya lagi.