Pirlo kesal pemain gagal pertahan maruah Juventus
Astro Arena
Mac 22, 2021 13:36 MYT
Mac 22, 2021 13:36 MYT
BENEVENTO 1 JUVENTUS 0
Andrea Pirlo menyelar sikap pemain Juventus apabila menekankan mereka seharusnya mempamerkan rasa hormat yang lebih tinggi ketika menyarung jersi kelab itu selepas tewas 0-1 kepada Benevento, secara tidak langsung harapan untuk mempertahankan gelaran Serie A semakin pudar.
Pengurus itu melihat kesebelasan utamanya mensia-siakan deretan peluang dalam usaha merapati jurang dengan Inter yang mendahului puncak dengan tujuh mata yang menyaksikan Adolfo Gaich menghukum hantaran ke belakang pemain tengah, Arthur, pada minit ke-69 di Turin, awal pagi tadi.
Kepemimpinan Pirlo terus dipersoalkan apabila prospek menjulang Scudetto ke-10 berturut-turut kelihatan semakin jauh untuk digapai.
Ia menuntut kepincangan Inter dan kesempurnaan Juventus bagi menghambat kedudukan Nerazzurri dan kedua-dua elemen itu jelas tidak kelihatan.
"Kami perlu menampilkan persembahan yang lebih baik sebaliknya kami tampil buruk dalam setiap aspek permainan kami," katanya.
"Semuanya tidak menjadi pada hari ini, khususnya mengenai sikap dan aspek teknikal kami.
"Kami sedar perlawanan ini akan menjadi sukar memandangkan Benevento merupakan sebuah pasukan yang teratur, yang mampu bertahan dengan berkesan menerusi dua barisan benteng yang padat. Apa yang kami perlukan adalah kekal tenang dan memanfaatkan bahagian sayap dengan lebih baik, tetapi kami melakukan banyak kesilapan.
"Ketika keputusan masih seimbang, panik akan mula melanda pemain dan ia bukan satu sikap yang diingini. Kami juga memerlukan sedikit percikan tambahan untuk mendapatkan kemenangan kerana ada peluang yang terhidang untuk kami merapatkan jurang dalam liga.
"Kami perlu menaruh kepercayaan terhadap Scudetto untuk meneruskan rentak, usaha dan sentiasa terus berjuang."
Biaconeri memiliki 73.4 peratus penguasaan dengan menghasilkan 21 peluang berbanding tujuh oleh lawan yang menyaksikan Cristiano Ronaldo memiliki sembilan percubaan selain satu gol gol dibatalkan akibat ofsaid. Malah, hadiah sepakan penalti mereka juga dibatalkan dalam babak pertama.
Pemain Benevento, Alessandro Tuia, bertindak cemerlang ketika mematahkan 10 peluang terbuka ketika pelawat mempertahankan kelebihan tipis mereka itu.
Benevento, yang dikemudi bekas penyerang Juventus, Filippo Inzaghi, terus kental bertahan dan juara Serie B pada musim lalu itu kemudian menggegar gawang dalam satu-satunya percubaan tepat mereka.
"Kami harus mengubah corak pemikiran: kami menyarung jersi yang sangat penting dan sentiasa perlu dihormati," tambahnya yang dipetik di laman sesawang Juventus.
"Sikap kami harus berbeza dalam perlawanan seperti ini."
Selepas rehat antarabangsa, The Old Lady akan kembali ke aksi Serie A dengan 'derby' menentang Torino maka mereka perlu memberi terus memberi perhatian penuh.
Menilai kesilapan Arthur itu, Pirlo berkata: "Dia melakukan kesalahan yang tidak sepatutnya dilakukan. Pada pendapat saya, dia tidak dapat mengesan pemain lawan di kawasan itu.
"Ia adalah satu kesalahan mudah seperti yang lain yang kami sering lakukan. Ini bererti kami tidak memberi fokus dan kami tidak mencurahkan segalanya untuk mencapai kemenangan."