Pingat Sukan Asia misi utama Muhammad Irfan tahun depan

Bernama
Disember 27, 2021 14:09 MYT
Biarpun menjadikan Sukan Asia sebagai misi utamanya tahun depan, atlet dari Negeri Sembilan itu memaklumkan tetap mahu mempertahankan emas Sukan SEA pada temasya seterusnya di Hanoi, Vietnam, Mei depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Jaguh lempar cakera negara Muhammad Irfan Shamsuddin kini 'mengidam' untuk menggenggam pingat sulung Sukan Asia pada temasya di Hangzhou, China, yang dijadual berlangsung September tahun depan.
Muhammad Irfan berkata, sudah tiba masa baginya untuk menempa nama di pentas Sukan Asia setelah acap kali menggegar temasya Sukan SEA, berikutan kejayaan memenangi emas sebanyak empat kali berturut-turut bermula pada edisi 2013 di Myanmar sehingga 2019 di Filipina.
Biarpun menjadikan Sukan Asia sebagai misi utamanya tahun depan, atlet dari Negeri Sembilan itu memaklumkan tetap mahu mempertahankan emas Sukan SEA pada temasya seterusnya di Hanoi, Vietnam, Mei depan.
"Sudah tentu saya nak pertahan pingat emas dan buat yang terbaik di Sukan SEA, kerana ia merupakan sebahagian daripada 'perjalanan' saya untuk merangkul pingat di Sukan Asia," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sementara itu pemegang rekod kebangsaan dengan catatan 62.55 meter (m) yang dilakar pada kejohanan olahraga Austrian Top Meeting 2017 itu turut menggesa Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk gigih mencari dana daripada syarikat besar demi membantu kelangsungan atlet.
Seterusnya Muhammad Irfan juga berharap agar KOM dan MSN dapat mencapai kata sepakat untuk membantunya kembali ke pangkuan jurulatih lamanya, Frantisek Petrovic, selepas kontrak pengendali asing itu ditamatkan pada 2019.
Difahamkan Petrovic kini melatih atlet olahraga Sarawak.
-- BERNAMA
#Muhammad Irfan Shamsuddin #lempar cakera #Sukan Asia #Hangzhou
;