Pingat perak Azizulhasni dibatalkan
Astro Arena
September 25, 2014 20:45 MYT
September 25, 2014 20:45 MYT
Sudah jatuh ditimpa tangga itulah yang nasib dialami pelumba basikal trek negara Azizulhasni Awang apabila pingat perak yang diraih beliau bagi acara akhir keirin ditarik balik.
Azizul , pemenang pingat emas dalam acara sama di Sukan Asia Guangzhou sebelum ini telah menyatakan hasrat beliau untuk mempertahankan pingat tersebut namun ternyata keputusan pengadil tidak memihak kepadanya pada edisi kali ini.
Pelumbaan ditentukan oleh "photo finish" dan jelas menunjukkan Azizulhasni di tempat kedua, namun pengadil memberi alasan bahawa Azizulhasni telah menghalang pelumba Jepun Kazunari Watanabe ketika pelumba sedang memecut ke garisan penamat.
Sebelum itu, seorang lagi pelumba negara Josiah Ng nyaris dibatalkan pelumbaan ketika saingan kelayakkan apabila tayar basikalnya didapati pancit namun pengadil telah mengubah keputusan dan membenarkan beliau meneruskan acara.
Apa pun, semoga keputusan seperti ini tidak membantutkan persembahan atlit lain bagi mencapai sasaran 8 pingat emas yang dicari.