'Pindahkan jasad Maradona ke tempat lebih selamat' - Anak
Astro Awani
Mei 3, 2024 10:15 MYT
Mei 3, 2024 10:15 MYT
BUENOS AIRES: Anak-anak mendiang Diego Maradona memfailkan permintaan kepada Mahkamah Argentina pada Khamis untuk memindahkan jasad legenda bola sepak dunia itu "ke tempat yang lebih selamat" dan memberi peluang untuk peminat "memberi penghormatan" di sebuah makam.
Jasad Maradona yang ketika ini disemadikan di tanah perkuburan persendirian di pinggir Buenos Aires disemadi pada November 2020 dalam perarakan pengebumian besar-besaran.
Hanya ahli keluarga sahaja dibenarkan masuk ke tanah perkuburan berkenaan.
Tanah perkuburan atau makam yang dirujuk keluarga mendiang itu dikenali sebagai 'Memorial del Diez' yang terletak di bahagian belakang pejabat pentadbiran kerajaan Argentina, Casa Rosada.
Tempat persemadian itu akan dibuka kepada orang ramai, kata Veronica Ojeda yang juga ibu kepada anak bongsu Maradona kepada media tempatan.
"Semua waris meminta dengan persetujuan bersama untuk membenarkan pemindahan ke destinasi seterusnya bagi mendiang berehat kekal di tempat yang lebih selamat berbanding sekarang," kata nota yang dikemukakan kepada mahkamah yang ditandatangani oleh Dalma dan Gianinna Maradona dan Ojeda bagi pihak Diego Maradona Jr.
"Dan supaya seluruh rakyat Argentina dan warga dunia dapat memberi penghormatan kepada bapa kami yang merupakan idola terbesar Argentina."
Pemindahan itu akan berlaku sekitar 30 Oktober, tarikh kelahiran pemenang Piala Dunia 1986 itu bersama Argentina, kata salah seorang peguam keluarga itu kepada pemberita.
Maradona meninggal dunia pada usia 60 tahun pada November 2020 akibat serangan jantung.