Pilihan terhad buat Dollah untuk pertemuan menentang Liverpool

Astro Arena
Julai 12, 2015 22:50 MYT
Kesukaran berpunca dari aksi liga di mana majoriti pasukan terlalu bergantung dengan kelibat pemain import sehingga menyempitkan peluang pemain tempatan.
Ketika skuad negara bakal melayan kunjungan kelab terkemuka Eropah, Liverpool, kerisauan Dollah Salleh tertumpu kepada pertahanan negara yang dilihat begitu mudah dibolosi ekoran pilihan terhad yang dimilikinya berikutan penggunaan maksimum pemain import dalam aksi liga.
Walaupun kehadiran Liverpool beri reaksi berbeza dari setiap pencinta bola sepak tanah air, ketua jurulatih Harimau Malaya itu pula lebih mementingkan pendedahan anak buahnya untuk menimba ilmu bersama kelab profesional itu.
Apa yang pasti, sepanjang Dollah bersama skuad negara, pengendali itu dapat menghidu kelemahan ketara di bahagian tengah perisai negara.
Dollah tidak berselindung kesukaran itu berpunca dari aksi liga di mana majoriti pasukan terlalu bergantung dengan kelibat pemain import sehingga menyempitkan peluang pemain tempatan.
"Hampir semua pasukan di dalam Liga Malaysia bergantung dengan pengalaman pemain import dan ia mengehadkan kebolehan pemain tempatan untuk menyerlah," ulas bekas pemain bola sepak negara itu.
Tidak hairan beberapa nama seperti Razman Roslan kembali dipanggil untuk membina semula kekebalan pertahanan negara sekaligus mengelak aib negara terus dibuka menerusi kekalahan besar seperti yang berlaku baru-baru ini.
Dollah ditemui ketika menjadi jemputan khas klinik bola sepak One Goal yang dianjurkan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang membabitkan 220 kanak-kanak berumur dari 5 hingga 12 tahun.
"Kita kena teruskan matlamat bola sepak Malaysia dalam meningkat mutu permainan kita yang dilihat semakin merudum sekarang ini," tambahnya lagi.
#bola sepak #Dollah Salleh #harimau Malaya
;