Pilihan Singapura juara Piala Sultan Selangor kali keenam

Bernama
Mei 7, 2016 18:49 MYT
Pasukan pilihan Singapura dinobatkan sebagai juara Piala Sultan Selangor selepas menewaskan pasukan pilihan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti pada perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor di Stadium Shah Alam malam tadi. - Gambar Bernama
Pilihan Singapura memenangi Piala Sultan Selangor buat kali keenam selepas menewaskan Pilihan Selangor 4-3 menerusi sepakan penalti pada edisi ke-15 kejohanan bola sepak tahunan berkenaan di
Stadium Shah Alam, di sini, malam tadi.
Perlawanan terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan seri 1-1 pada aksi penuh perlawanan.
Untuk rekod, Pilihan Singapura sebelum ini muncul juara pada 2006, 2007, 2009, 2010 dan 2011.
Pada aksi di Shah Alam, Selangor bermula garang dengan serangan bertali arus dan berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-17 menerusi rembatan kencang R. Gopinathan yang tepat menerjah penjuru kanan gawang Pilihan Singapura.
Kedua-dua pasukan saling mengasak namun tiada tambahan jaringan dapat disaksikan sehingga berakhirnya babak pertama.
Bersambung separuh masa kedua, pengendali Pilihan Selangor Zainal Abidin Hassan membuat beberapa pertukaran bagi memantapkan jentera serangan namun nasib sebaliknya menyebelahi Pilihan Singapura yang meraih gol penyamaan menerusi pemain gantian, Stanley Ng pada minit ke-77.
Selaku juara, Pilihan Singapura membawa pulang Piala Sultan Selangor dan wang tunai RM50,000 yang disampaikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kepada kapten pasukan, Juma'at Jantan manakala Pilihan Selangor meraih RM10,000 selaku naib juara.
Terdahulu, Veteran Selangor mengalahkan Veteran Singapura 2-0 hasil jaringan Shahrin Majid pada minit ke-15 dan Dollah Salleh, selang sembilan minit kemudian.
Turut hadir menyaksikan perlawanan berkenaan adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Untuk rekod, edisi 2015 yang dijadualkan berlangsung 24 Okt tahun lalu di Stadium Shah Alam terpaksa dibatalkan susulan keadaan berjerebu yang melanda negara.
Piala Sultan Selangor diilhamkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melibatkan pasukan pilihan serta veteran Selangor dan Singapura bag mengeratkan hubungan antara kedua-dua pihak.
Baginda juga merupakan penaung kejohanan yang diperkenalkan sejak 2001 yang ketika itu dikenali sebagai Piala Pemangku Raja Selangor.
#bola sepak #Piala Sultan Selangor #Pilihan Singapura