AARHUS: Cabaran Malaysia dalam Piala Uber 2020 nampaknya bakal berakhir seawal peringkat kumpulan selepas tewas 0-5 kepada China dalam perlawanan Kumpulan D di Arena Ceres di sini pada Ahad.

Selepas pembukaan kempen dengan kekalahan 1-4 kepada tuan rumah Denmark pada Sabtu, skuad muda Malaysia tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi menentang pemain China yang mempunyai ranking dunia lebih tinggi, diketuai Juara Olimpik Chen Yu Fei.

Dalam perseorangan pertama, pemain ranking nombor dua dunia Yu Fei dengan tenang membaca gaya permainan Eoon Qi Xuan, sebelum memaksa pemain ranking ke-123 dunia itu mengikut rentaknya dan memastikan kemenangan 21-13, 21-11 dalam masa 31 minit.

Qi Xuan yang melakukan kejutan dalam kejohanan itu pada Sabtu dengan menewaskan pemain Denmark Line Christophersen yang berada pada ranking ke-23 dunia, ditugaskan bermain dalam perlawanan perseorangan pertama selepas S Kisona direhatkan pada Ahad.

Kemudian Juara Remaja Dunia 2018 Liu Xuan Xuan-Xia Yu Ting mengukuhkan pendahuluan China dengan menumpaskan gandingan Lee Meng Yean-M Thinaah 21-12, 21-17.

Ketua pasukan Meng Yean yang bergandingan dengan Thinaah selepas pasangannya Pearly Tan mengalami kecederaan bahu semasa Piala Sudirman minggu lepas, mempamerkan aksi bertenaga menentang beregu ranking ke-21 dunia tetapi masih tidak mencukupi untuk mendapatkan kemenangan.

China yang merupakan pasukan paling cemerlang dalam kejohanan itu mengesahkan kemenangannya selepas pemain ranking kelapan dunia He Bing Jiao membenam muka baharu Siti Nurshuhaini Azman 21-8, 21-3.

Siti Nurshuhaini yang baharu berusia 17 tahun dengan ranking ke-455 dunia cuba untuk memberikan saingan pada awalnya tetapi tidak mampu mengikut rentak pemain China itu yang bukan lawan beliau.

Pemenang pingat emas beregu campuran Huang Dong Ping dan pemenang pingat perak beregu wanita Jia Yi Fan di Sukan Olimpik Tokyo, meneruskan penguasaan China dalam perlawanan beregu kedua dengan mengatasi beregu muda negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing 21-9, 21-12.

Pemenang pingat perak Kejohanan Remaja Dunia 2018 Wang Zhi Yi melengkapkan kemenangan 5-0 China dengan mengatasi K Letshanaa 21-15, 21-11.

Malaysia akan melengkapkan perlawanan Kumpulan D berhadapan Kanada, pada pukul 7 malam, 11 Okt (1 pagi, 12 Okt waktu Malaysia) sementara China yang bermula dengan membelasah Kanada 5-0 semalam akan melengkapkan perlawanan kumpulan menentang tuan rumah Denmark pada 12 Okt.

Dengan hanya dua pasukan teratas akan mara ke peringkat suku akhir, China berada di kedudukan teratas dengan dua kemenangan diikuti Denmark dengan satu kemenangan.

-- BERNAMA