Piala Tun Abdul Razak: Perak pertahan kejuaraan, KL ungguli kategori wanita

Bernama
November 21, 2021 00:12 MYT
Juara bertahan Piala Tun Abdul Razak Perak berjaya mempertahan gelarannya dalam kategori lelaki selepas menewaskan Pahang 2-1 pada perlawanan akhir, malam ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Juara bertahan Piala Tun Abdul Razak Perak berjaya mempertahan gelarannya dalam kategori lelaki selepas menewaskan Pahang 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil di sini malam ini.
Kemenangan malam ini di hadapan kira-kira 1,000 penonton memastikan Perak muncul sebagai pasukan kedua paling berjaya pada kejohanan itu apabila merangkul 11 kejuaraan di belakang Kuala Lumpur (16 kejuaraan) dan mengatasi Selangor yang merupakan juara 10 kali.
Pada perlawanan yang sengit itu, Perak mendahului menerusi jaringan Muhammad Akram Hakkam Jamaluddin pada minit kelima.
Bagaimanapun, Pahang menyamai kedudukan apabila penjaga gawang Perak Mohamad Fahmi Azahar Ruddin gagal menghentikan pukulan tinggi melepasi kepala Ismail Abu pada minit ke-37.
Saiful Shahril Saiful Bahri kembali meletakkan Perak di hadapan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44 .
"Saya memberi kredit kepada para pemain yang bermain bersungguh-sungguh dan mengikut perancangan pada malam ini untuk mempertahan kejuaraan. Kita memang tidak mahu membawa perlawanan sehingga penentuan pukulan penalti walaupun dah bersedia dari awal.
"Walaupun membariskan ramai pemain muda, kita dah buktikan bahawa masih memiliki bakat untuk pertahankan gelaran," kata Jurulatih Perak Abdul Sukur Adam kepada pemberita selepas perlawanan.
Terdahulu, juara empat kali Melaka mengesahkan kedudukan di tangga ketiga selepas menewaskan Terengganu 3-0 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat.
Juara membawa pulang pingat, trofi dan wang hadiah sebanyak RM30,000 manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM20,000 dan RM10,000.
Sementara itu, Kuala Lumpur (KL) mengungguli kategori wanita selepas menewaskan juara bertahan Pahang 1-0 di venue sama sebelum itu.
Kebuntuan kedua-dua pasukan mencari gol sehingga suku terakhir perlawanan berakhir selepas Nur Syaza Afiqah Safawi menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-53 sekali gus membantu KL menjulang kejuaraan kedua sejak kategori diperkenal pada 2016.
"Sebenarnya kelebihan ada pada kedua-dua pasukan, benteng pertahanan Pahang juga sangat kebal. Banyak peluang kita dan 11 pukulan sudut penalti tidak dapat disempurnakan oleh kita tetapi akhirnya anak buah saya berjaya menjaringkan gol selepas menggunakan peluang yang terhidang dengan baik," kata jurulatih KL A. Kannagi.
Sementara itu, Pulau Pinang mengatasi Melaka 2-1 untuk mengesahkan kedudukan di tempat ketiga bagi kategori sama.
Juara membawa pulang pingat, trofi dan RM15,000 manakala naib juara dan pemenang tempat ketiga masing-masing menerima RM10,000 dan RM5,000.
-- BERNAMA
#Piala Tun Abdul Razak #hoki #Perak #Juara #Pahang #Kuala Lumpur
;