Piala TNB: THT, TNB buat perhitungan di final
Bernama
Mac 16, 2023 06:50 MYT
Mac 16, 2023 06:50 MYT
KUALA LUMPUR: Pasukan Hoki Terengganu (THT) unggul menempah slot final Piala TNB 2023 setelah mencatat kemenangan agregat 8-2 ke atas skuad UiTM HA-KPT di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam tadi.
Kemenangan 3-1 pada aksi separuh akhir kedua hari ini menyaksikan anak buah Seo Jongho semakin menghampiri untuk meraih kemenangan treble selepas meraih Piala Sumbangsih dan gelaran Liga Hoki Malaysia (LHM) musim ini.
Skuad THT bermula garang apabila pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun memecahkan kebuntuan seawal minit ke-14 perlawanan menerusi pukulan sudut penalti, sebelum Shello Silverius meledak jaringan padang pada minit ke-45.
Enggan tewas, UITM HA-KPT cuba bangkit pada minit ke-51 menerusi jaringan padang Danial Asyraf Abdul Ghani, namun penyerang kebangsaan Faizal Saari menjadi wira dengan menoktahkan kemenangan buat THT lima minit kemudian.
THT berpesta gol apabila membelasah skuad UiTM HA-KPT 5-1 pada aksi separuh akhir pertama, Selasa lepas.
Sementara itu, juara bertahan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melangkah ke pentas final menerusi penentuan penalti shoot out 3-0 ketika menentang Maybank selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 5-5 dalam aksi separuh akhir kedua malam tadi.
Pada aksi separuh akhir pertama Selasa lepas, TNB dan Maybank terikat 2-2.
Terdahulu, juara bertahan pasukan hoki wanita Negeri Sembilan (NSE) melangkah ke pentas final Piala Vivian May Soars selepas menundukkan skuad Terengganu-MSNT (TLHT-MSNT) menerusi agregat 5-2 pada dua aksi separuh akhir.
KPT-Uniten Thunder turut melangkah ke pentas final selepas membenam Young Tigress dengan agregat 3-1.
Aksi final akan berlangsung pada Sabtu ini.
-- BERNAMA