Piala Thomas: Wajib menang berdepan England - Daren
Bernama
April 14, 2022 17:51 MYT
April 14, 2022 17:51 MYT
KUALA LUMPUR: Aksi menentang England pada kempen Piala Thomas 2022 di Bangkok, Thailand pada 8-15 Mei ini, dilihat cukup penting buat Malaysia dalam misi menamatkan penantian 30 tahun meraih kejuaraan tersebut.
Bagi pemain profesional negara Liew Daren, kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan D berdepan England bukan sahaja penting untuk mencerahkan peluang melangkah ke pusingan suku akhir, malah dapat meningkatkan keyakinan pemain pada kejohanan berpasukan lelaki dunia itu.
Daren, 35, yang merupakan pemain paling senior dalam panggilan kem latihan skuad negara kali ini, turut tidak mahu terlalu memikirkan mengenai sasaran final yang diletakkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebaliknya mahu memberi fokus pada satu demi satu perlawanan jika diberi peluang beraksi.
"Jika mahu melangkah ke suku akhir, kita kena menang ke atas England, saya rasa New Zealand sepatutnya tiada masalah. Kita kena fokus satu satu perlawanan, jika menang dengan England, kita sudah ada keyakinan untuk perlawanan seterusnya.
"Ini acara berpasukan...yang penting adalah pasukan, jika semua (pemain) bekerjasama, apa pun boleh jadi," kata pemain di ranking ke-35 dunia itu ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di sini, hari ini.
Bagi edisi kali ini, Malaysia diundi menentang juara 2014 Jepun selain England dan New Zealand dalam Kumpulan D.
Daren yang bakal membuat penampilan ketiga pada Piala Thomas selepas edisi 2012 dan 2014, turut bersedia menjadi 'abang' kepada pemain-pemain muda untuk memberi nasihat, motivasi dan tunjuk ajar jika diperlukan.
Sambil berterima kasih kepada BAM kerana memberinya peluang menyertai kem latihan tersebut, Daren tidak menolak kemungkinan saingan kali ini bakal menjadi penampilan terakhirnya pada kejohanan itu.
Semalam, BAM menyenaraikan 13 pemain diketuai Lee Zii Jia untuk kem latihan pusat Piala Thomas, bermula esok hingga 23 April, sebelum memilih 12 pemain terbaik ke Bangkok.
Selain skuad Piala Thomas, pasukan Piala Uber dan Sukan SEA yang turut melapor diri di ABM hari ini, akan memulakan latihan esok selepas mendapat keputusan ujian RT-PCR, kecuali pemain yang sedang beraksi di Masters Korea yang akan melapor diri kemudian.
-- BERNAMA