Piala Thomas: Misi skuad negara padam reputasi atas kertas
Astro Arena
Mei 4, 2024 16:00 MYT
Mei 4, 2024 16:00 MYT
MENJELANG saingan separuh akhir Piala Thomas melibatkan skuad negara dan tuan rumah, China, di Chengdu petang ini, skuad negara jelas perlu mengatasi reputasi besar negara Tembok Besar itu.
Jika dinilai daripada segi kedudukan ranking dan rekod pertemuan, pasukan negara tidak memiliki banyak kelebihan berbanding pemain yang disenarai lawan itu untuk penentuan ke final ini.
Perseorangan utama, Lee Zii Jia, akan berdepan Shi Yuqi, di mana Zii Jia, yang kini menduduki tangga ke-10 dunia, ketinggalan 1-4 dalam rekod pertemuan dengan pemain nombor dua dunia itu.
Beregu utama negara, Aaron Chia-Sih Wooi Yik, juga tidak banyak kelebihan berbanding Wang Chang-Liang Wei Keng, di mana beregu nombor lima dunia itu hanya pernah menang sekali daripada tujuh pertemuan dengan lawan yang merupakan beregu nombor satu dunia ketika ini.
Biarpun tiada rekod pertemuan di antara Leong Jun Hao dengan Li Shi Feng, rakyat Malaysia pastinya mengharapkan kejutan dapat dilakukan Jun Hao memandangkan dia di ranking ke-37 dunia, perlu berdepan lawan di ranking keenam dunia berkenaan.
Hanya gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin memiliki kelebihan berbanding Ren Xiang Yu-He Ji Ting dengan kemenangan dalam pertemuan tunggal sebelum ini tetapi kemenangan beregu negara di ranking ke-15 dunia itu disebabkan lawan nombor 11 dunia berkenaan terpaksa menarik diri gara-gara kecederaan dalam Kejohanan Badminton Asia bulan lalu.
Cabaran paling besar pasti akan digalas perseorangan terakhir, Justin Hoh, kerana ranking dunianya dengan Lu Guang Zu ibarat langit dengan bumi, di mana Guang Zu menduduki ranking ke-19 dunia manakala Justin berada di tangga ke-223.
Apa pun, kami rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik buat pasukan negara untuk mencipta kejutan dan seterusnya menamatkan penantian 10 tahun ke final.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro