Piala Thomas: Malaysia tundukkan England 5-0 bagi kumpulan D
Hilmi Malik
Mei 9, 2022 15:41 MYT
Mei 9, 2022 15:41 MYT
KUALA LUMPUR : Malaysia memulakan langkah positif bagi Piala Thomas 2022 apabila berjaya membenamkan England 5-0 pada pusingan pembukaan kumpulan D di Bangkok pada Isnin.
Pemain nombor enam dunia yang juga pemain perseorangan negara, Lee Zii Jia memulakan corak permainan yang memberangsangkan apabila menewaskan Toby Penty dengan jumlah kutipan mata 21-10, 21-15.
“Ini merupakan satu permulaan yang baik dan fokus seterusnya adalah untuk tewaskan Jepun dan seterusnya misi untuk kalahkan Mesir esok,” katanya ketika ditemui pada Isnin.
Malaysia terus mengekalkan momentum kemenangan menerusi gandingan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik meskipun saingan kelihatan agak sengit untuk menewaskan gandingan Ben Lane dan Sean Vendy.
Pusingan itu menyaksikan mereka berentap selama 62 minit yang membawa kepada kutipan mata 19-21, 21-15 dan 21-16.
“Kami memang terima saingan yang agak sengit bagi perlawanan ini bagaimanapun kami berjaya untuk mengatasi cabaran tersebut,” katanya.
Malaysia turut mengetengahkan Ng Tze Yong bagi acara perseorangan kedua yang menyaksikan pemain berusia 21 tahun itu berada di kedudukan selesa dengan kutipan mata sebanyak 21-16, 19-21 dan 21-11 menewaskan Johnnie Torjussen.
“Saya sepatutnya boleh menang mudah namun tidak berapa yakin pada pusingan awal, ada sedikit kesilapan yang saya lakukan bagaimanapun kita berjaya tewaskan pihak lawan,” kata Tze Yong.
Selain itu, gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani turut diberi peluang untuk berentap meskipun bertemu dengan jaguh berpengalaman, Rory Easton-Zach Russ.
Faktor itu bagaimanapun tidak sesekali menjejaskan semangat mereka untuk terus berada di depan apabila menang 21-13, 21-9.
Leong Jun Hao yang terkenal dengan sikap tenangnya turut berjaya mengikat permainan 21-11, 21-18 ke atas Cholan Kayan.
Malaysia sekali lagi bakal menerima saingan hebat daripada Mesir pada Selasa dan seterusnya Jepun pada Rabu untuk terus mengumpul mata Piala Thomas.