Piala Thomas: Ayuh, 'pecahkan' tembok besar China!

Bernama
Mei 3, 2024 11:40 MYT
Rexy mengingatkan para pemain agar tidak terbuai dengan kejayaan mengecewakan Jepun dan kembali fokus untuk berdepan China. - Foto fail/BERNAMA
CHENGDU: Skuad badminton negara berdepan tugas getir dalam misi 'memecahkan' tembok besar China pada saingan separuh akhir Piala Thomas 2024, sekali gus mencipta sejarah melangkah ke perlawanan akhir selepas 10 tahun, di sini.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky menuntut barisan pemain negara untuk tampil garang bagi melenyapkan sorakan penyokong tuan rumah yang dijangka memenuhi Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone menyaksikan perlawanan pada 5 petang, esok.
"Saya lihat China memiliki kekuatan pemain perseorangan sama rata antara satu sama lain manakala peluang beregu mereka dengan kita pula 50-50.
"Dengan status sebagai tuan rumah, mereka mungkin mempunyai tekanan. Malaysia harus ambil peluang tersebut untuk memberikan persembahan terbaik dan hanya menikmati perlawanan separuh akhir esok," katanya kepada media Malaysia di sini.
Malaysia mara ke separuh akhir selepas lapan tahun dengan menyingkirkan juara 2014, Jepun 3-1 manakala China pula menundukkan juara bertahan India juga 3-1, semalam.
Rexy pada masa sama mengingatkan para pemain agar tidak terbuai dengan kejayaan mengecewakan Jepun dan kembali fokus untuk berdepan China.
Rekod empat perlawanan terakhir antara Malaysia dan China dalam kejohanan berpasukan lelaki sejak 2010 ternyata tidak memihak negara apabila tewas kesemua perlawanan itu.
Kali terakhir kedua-dua pasukan berentap dalam saingan Piala Thomas adalah pada edisi 2012 di Wuhan, China, menyaksikan tuan rumah menewaskan Malaysia 3-0, pada aksi suku akhir.
Pakar beregu dari Indonesia itu memuji persembahan pemain perseorangan utama dan kedua negara Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao, yang menampilkan prestasi mengagumkan ketika membantu Malaysia menewaskan Jepun.
Katanya, ketenangan dimiliki Zii Jia membantu pemain nombor 10 dunia itu beraksi mantap dan situasi itu telah membakar semangat Jun Hao untuk mempamerkan persembahan jitu dalam perlawanan ketiga.
Zii Jia menyumbang mata sulung negara selepas mengalahkan Kenta Nishimoto 21-13, 21-3 manakala Jun Hao, pemain di ranking ke-37 dunia mengejutkan pemain ranking ke-22, Koki Watanabe 21-13, 21-10, untuk memberikan mata kedua dalam perlawanan ketiga.
Biarpun bermula baik pada set pertama, Rexy mengakui persembahan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik terlalu pasif dan merudum pada dua set berikutnya sekali gus tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi, 21-18, 14-21, 19-21.
"Saya lihat Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga terlalu pasif seperti Aaron-Wooi Yik dalam set pertama namun pada set kedua ada berubah sedikit dan set ketiga mereka dapat momentum sehingga berjaya mengganggu rentak lawan dan mengawal perlawanan selepas itu," katanya.
Sze Fei-Nur Izzuddin muncul wira selepas bangkit dari ketinggalan dan menamatkan permainan dengan 18-21, 21-15, 21-12, sekali gus meraih mata kemenangan Malaysia bagi menyalakan semula harapan menamatkan kemarau 32 tahun kejuaraan dalam saingan badminton berpasukan berprestij dunia.
Sementara itu, Rexy berkata peranan pakar psikologi Frederick Tan yang dibawa masuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sejak Februari lepas mula menampakkan impak apabila berjaya membantu barisan pemain mengekalkan kekuatan mental sehingga berjaya memenangi perlawanan menentang Jepun semalam.
-- BERNAMA
#Piala Thimas #Rexy Mainaky #Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone #suku akhir
;