Piala Thomas 2016: Koo Kien Keat gembira sumbang mata

Astro Arena
Mei 20, 2016 10:40 MYT
"Selepas kemenangan set pertama, keyakinan saya semakin meningkat." - Koo Kien Keat (kiri)
Koo Kien Keat berpuas hati apabila dia dan pasangannya, Tan Boon Heong, berjaya membantu skuad Piala Thomas negara meraih mata kemenangan ke atas Taiwan dalam saingan peringkat suku akhir pada Khamis.
Kien Keat-Boon Heong selaku beregu kedua menjadi sandaran negara untuk menjamin tempat ke separuh akhir, apabila menundukkan Chen Hung Ling-Wang Chi Lin 21-16, 22-20.
"Kami perlu terus tingkatkan semangat pasukan sebab kebiasaan dalam perlawanan keempat, sama ada mereka atau kami yang akan mendahului kedudukan 2-1.
"Sebagai beregu kedua, perasaan menghadapi situasi itu sangat berbeza.
"Kami bukan bangga menjadi hero tapi kejayaan mendapatkan mata untuk negara pun sudah cukup bagus," katanya.
Ketua pasukan negara, Datuk Lee Chong Wei, menjelaskan dia tidak mempunyai masalah ketika mengalahkan Chou Tien Chen, 21-18, 21-18.
"Semasa mendahului, saya mengikutnya menukar corak permainan.
"Selepas kemenangan set pertama, keyakinan saya semakin meningkat," jelasnya.
Bagi beregu pertama, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, kegagalan mereka menyumbang mata buat negara perlu dijadikan iktibar untuk lebih menyerlah dalam separuh akhir nanti.
"Ada sesetengah pukulan kami yang tak berapa bagus dan seterusnya memberi keyakinan kepada pihak lawan.
"Kami kena terima kekalahan ini, saya harap Malaysia boleh menang dan teruskan perjuangan," kata Wee Kiong.
Skuad negara bakal berdepan dengan cabaran Denmark dalam aksi separuh akhir, dijadualkan bermula pada jam 7 petang hari ini.
#Denmark #Koo Kien Keat #Kunshan #Malaysia #Piala Thomas 2016 #Separuh Akhir #Tan Boon Heong
;