Piala Suzuki AFF: Mohd Syazwan intai robek gawang Vietnam
Bernama
November 23, 2016 11:33 MYT
November 23, 2016 11:33 MYT
Pemain sayap kiri skuad kebangsaan, Mohd Syazwan Zainon bertekad meneruskan ledakan jaringan apabila Malaysia turun berdepan Vietnam pada aksi kedua kumpulan B Piala AFF Suzuki di Stadium Thuwunna, hari ini (Rabu).
Mohd Syazwan berkata gol pendahuluan yang dijaringkannya ketika Malaysia menang tipis 3-2 ke atas Kemboja, Ahad lepas jelas menyemarakkan semangatnya untuk membantu skuad Harimau Malaysia mencatat kemenangan kedua berturut-turut pada edisi ke-11 kejohanan.
"Kalau ada rezeki, insya-Allah saya cuba akan jaringkan gol untuk bantu pasukan dapatkan tiga mata," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat sesi latihan skuad kebangsaan, di sini, pada Selasa.
Ditanya mengenai kecederaan pangkal kaki yang dialaminya ketika berdepan Kemboja, pemain Kedah itu memaklumkan ia tidak serius dan bersedia untuk diturunkan pada aksi berdepan pasukan lawan yang mendapat jolokan 'The Golden Stars'.
Turut senada dengan Mohd Syazwan adalah penyerang veteran kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha yang menyifatkan Vietnam bukan satu pasukan yang mudah untuk ditewaskan.
Beliau yang menjaringkan salah satu gol ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-2 pada separuh akhir kedua edisi 2014 di tempat lawan, menjelaskan pasukan Vietnam lawan mempunyai kekuatan dari segi serangan balas pantas terutamanya penyerang berbisa, Le Cong Vinh yang juga kapten pasukan.
"Corak serangan pantas mereka masih kekal seperti dahulu cuma barisan pemain sahaja yang berbeza...selain Le Cong Vinh, saya lihat jersi nombor 10 (Nguyen Van Quyet) agak berbahaya sekiranya pasukan kita lalai mengawal pergerakan beliau," kata Norshahrul yang membuat penampilan kali keempat pada kali ini.
Dalam pada itu, pemain sayap kanan Muhammad Hadin Azman mengintai peluang untuk membarisi kesebelasan utama pada aksi berdepan Vietnam selepas hanya diturunkan pada separuh masa kedua ketika berdepan Kemboja sebelum ini.
"Siapa yang tak mahu kesebelasan utama namun jika diturunkan pada perlawanan esok, saya sedia memberikan persembahan terbaik.
Persediaan pasukan saya lihat agak mantap untuk aksi menentang Vietnam dan jurulatih pun sudah memberikan nasihat sebelum kita turun berdepan mereka...esok perlawanan agak sukar," kata pemain Felda United itu. -- Bernama