Piala Super UEFA: Hampir mustahil ganti Hazard - Lampard

Astro Arena
Ogos 14, 2019 17:51 MYT
Eden Hazard meninggalkan Chelsea selepas membantu pasukan itu memenangi Liga Europa. - Foto Twitter / @Chelsea FC
PENGURUS Chelsea, Frank Lampard, percaya adalah mustahil untuk menggantikan Eden Hazard dengan individu lain.
Hazard beraksi di Stamford Bridge selama tujuh musim sebelum berkelana ke Real Madrid dengan perjanjian bernilai sekitar €100 juta (RM467.4j).
Pemain Belgium itu terlibat secara langsung dalam 31 gol Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu dengan menghasilkan 16 gol dan 15 bantuan gol dan pemergiannya meninggalkan jurang besar buat Chelsea untuk dipenuhi.
Lampard berkata pemain lincah yang memenangi dua gelaran liga dan dua mahkota Liga Europa dengan The Blues tidak boleh digantikan dengan hanya seorang pemain.
"Saya merupakan peminat Eden Hazard dan sebagai peminat Chelsea, saya pernah beraksi di sampingnya," katanya dalam sidang media menjelang pertembungan Piala Super UEFA menentang Liverpool, awal pagi esok.
"Bagi saya, musim lalu dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia. Bukan setakat musim lalu, malah sepanjang di Chelsea. Secara umumnya dia muncul sebagai pemain paling produktif untuk pasukan daripada segi bantuan jaringan dan gol, termasuk kepimpinannya.
"Anda tidak boleh menggantikannya dengan seorang pemain, saya fikir ia adalah mustahil kerana tahap tinggi yang dipamerkan dalam kerjayanya."
Tambahnya: "Namun, berita baik dan positifnya, kami perlu bersikap tenang dan sabar dengan kumpulan pemain yang kami miliki.
"Beberapa pemain muda dan berpengalaman kini berpeluang untuk membuktikan kemampuan secara sepasukan dan individu, mereka boleh meningkat memandangkan kami kehilangan sejumlah besar sumber bantuan gol dan jaringan.
"Jawapannya, sebagai sebuah pasukan, kami perlu mencari jalan untuk meneruskan cabaran kerana kelab bola sepak seperti Chelsea akan terus memberikan saingan.
"Eden Hazard, John Terry dan Didier Drogba merupakan pemain yang menunjukkan peningkatan dan kini tiba giliran untuk pemain (generasi) seterusnya dan ia turut bergantung kepada pengurus.
"Itulah cabaran besar yang kami hadapi sekarang. Kami perlu mengucapkan selamat berjaya kepada Eden Hazard manakala kami perlu meneruskan cabaran sebagai Chelsea."
Sentuhan pertama bekas pemain tengah England itu tidak memberangsangkan apabila dibelasah 0-4 oleh Manchester United di Old Trafford, kelmarin.
Namun, bekas pengendali Derby County itu memiliki keyakinan terhadap pasukannya menjelang pertemuan dengan pemenang Liga Juara-Juara (UCL) itu di Istanbul, Turki, awal pagi esok.
"Saya optimis kerana saya menaruh kepercayaan kepada pemain dan saya percaya pada hakikatnya, kami di sini kerana kami sememangnya berhak," katanya.
"Itulah pencapaian pemain dan kelab musim lalu, bukan saya. Tetapi saya bangga untuk menguruskan pasukan ini di sini.
"Saya faham kualiti yang dimiliki Liverpool. Mereka memang layak memenangi UCL. Mereka mempunyai pengurus (Jurgen Klopp) dan sekumpulan pemain yang hebat.
"Jadi, kami tahu ia akan menjadi ujian getir tetapi saya percaya kepada barisan pemain dan jika kami beraksi dengan prestasi maksimum, kami boleh memenangi perlawanan ini."
#Chelsea #Eden Hazard #Frank Lampard #Istanbul #Liverpool #Piala Super Uefa
;