Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia tewaskan Korea Selatan, akhiri kemarau 39 tahun

Sinar Harian
November 10, 2022 22:35 MYT
Kejayaan tersebut juga menebus kekecewaan skuad Malaysian Tigers yang tewas 1-2 kepada pasukan dari negara 'kimchi' itu pada perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta, Jun lalu. - Gambar/ Hokita
SKUAD hoki negara menamatkan kemarau kejuaraan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) selama 39 tahun setelah menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi final di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak sebentar tadi.
Kejayaan tersebut juga menebus kekecewaan skuad Malaysian Tigers yang tewas 1-2 kepada pasukan dari negara 'kimchi' itu pada perlawanan akhir Piala Asia di Jakarta, Jun lalu.
Skuad bimbingan Arul Selvaraj membuka tirai jaringan menerusi gol padang Shello Silverius pada minit ke-15.
Namun jaringan itu tidak bertahan lama apabila Korea Selatan pantas menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi pukulan sudut penalti Jang Jonghyun.
Perlawanan semakin rancak pada suku ketiga, apabila kedua-dua pasukan saling mengasak untuk menambah jaringan.
Enggan berputus asa, buruan untuk menokok gol berhasil apabila skuad Malaysian Tigers memperoleh penalti stroke pada penghujung suku ketiga.
Pakar pukulan sudut penalti, Muhammad Razie Abdul Rahim mudah menyempurnakan tugas itu untuk meletakkan Malaysia di depan.
Seakan menjadi gol penyuntik semangat, Malaysia menggandakan asakan dan serangan balas pantas menceriakan ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.
Penampilan pertama Muhammad Aminuddin Mohd Zain di pentas final ternyata membawa tuah apabila dia menghasilkan gol ketiga pada minit ke-48.
Menghampiri penghujung aksi, Malaysia tersentak apabila Razie dilayangkan kad kuning dan menjadi penonton untuk baki empat minit terakhir.
Kekurangan seorang pemain menyaksikan Korea Selatan memanfaatkan sepenuh peluang apabila merapatkan jurang gol menerusi pukulan sudut penalti Jeon Byunjin pada minit ke-58.
Kali terakhir skuad Malaysian Tigers mara ke pentas final PSAS ialah 2014, namun tumpas 3-8 kepada Australia.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik Malaysia pada kejohanan tersebut sebelum ini ialah muncul naib juara sebanyak lima kali pada 1985, 2007, 2009, 2013 dan 2014. - Sinar Harian
#hoki Malaysia #Piala Sultan Azlan Shah #Malaysia menang #Korea Selatan
;