Piala Sultan Azlan Shah: Malaysia sekat hasrat India ke final
Bernama
Mei 6, 2017 08:46 MYT
Mei 6, 2017 08:46 MYT
Malaysia akhirnya meraih kemenangan pertama pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26 apabila menumpaskan India 1-0 di Stadium Azlan Shah di sini, malam ini.
Shahril Saabah muncul wira pasukan negara apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-51.
Keputusan itu juga menyaksikan India terpaksa berputih mata untuk mara ke perlawanan akhir,
sebaliknya membuka peluang kepada Great Britain bertemu pasukan kedua terbaik dunia, Australia di final, malam esok.
Pada aksi penuh dramatik malam ini, gawang skuad negara beberapa kali nyaris dirobek anak buah Roelant Oltmans, namun benteng pertahanan Malaysia terutama penjaga gol, S.Kumar berjaya menafikan percubaan pasukan lawan.
Pasukan bimbingan Stephen Van Huizen itu dilihat beraksi tanpa tekanan di hadapan 5,000 penonton yang memberi sokongan padu sehingga ke wisel penamat, berbanding India yang perlu mencari sekurang-kurangnya dua gol bagi memintas Great Britain untuk mara ke final.
Setelah beberapa kali mengkucar-kacirkan benteng pertahanan India, skuad negara akhirnya berjaya menggegar gawang pasukan lawan menerusi pukulan sudut penalti Shahril pada minit ke-51.
Terdesak untuk menjaringkan gol, Roelant mengeluarkan penjaga golnya Akash Chikte di minit-minit akhir perlawanan untuk memperkuatkan jentera serangan, namun usaha beliau itu tidak berhasil apabila kedudukan 1-0 berpihak kepada tuan rumah, Malaysia kekal sehingga ke wisel penamat.
Sementara itu, pada perlawanan yang berlangsung di venue sama petang tadi, Great Britain mencatat kemenangan tipis menewaskan New Zealand 3-2, manakala Jepun mengejutkan juara bertahan, Australia juga dengan jaringan yang sama (3-2).
Berikutan keputusan itu, perlawanan akhir malam esok adalah antara Australia berdepan Great Britain, manakala India menentang New Zealand untuk penentuan tempat ketiga dan keempat, sementara Malaysia menentang Jepun bagi penentuan tempat kelima dan keenam.
Jadual Esok (Sabtu)
--------------------------
MALAYSIA mln Jepun (3.40 pm)
India mln New Zealand (6.05 pm)
Great Britain mln Australia (8.35pm)
-- BERNAMA