Piala Sultan Azlan Shah: Hatrik Faizal julang Malaysia ke puncak
Astro Arena
Mac 23, 2019 23:03 MYT
Mac 23, 2019 23:03 MYT
Skuad hoki negara memulakan kempen Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) dengan langkah kanan selepas membelasah Poland 5-1 di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah, Ipoh, sebentar tadi.
Jaringan hatrik daripada Faizal Saari serta masing-masing satu daripada Fitri Saari dan Ashran Hamsani sudah cukup untuk memastikan Malaysia meraih tiga mata pertama bagi meduduki tangga teratas hasil kelebihan jaringan selepas perlawanan pertama.
Aksi suku pertama berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan berpeluang memperoleh jaringan awal, namun tiada sebarang gol terhasil sepanjang tempoh itu.
Malaysia memulakan suku kedua dengan garang dan hanya memerlukan lima minit sebelum Faizal meledak gol pembukaan menerusi pukulan sudut penalti.
Lapan minit berselang, giliran adik kepada Faizal, Fitri, mencetak nama selaku penjaring selepas menyempurnakan hantaran Razie Rahim dengan satu penyudah leret.
Faizal membuktikan kredibilitinya selaku pakar pukulan sudut penalti negara pada minit ke-30 dengan sekali lagi menyudahkan gerakan itu menerusi pukuran 'drag flick' ke penjuru atas gawang lawan.
Poland, bagaimanapun, merapatkan jurang kepada 3-1 menerusi gol Michal Kasprzyk dalam waktu kecederaan separuh masa pertama -- juga dengan gerakan 'set piece'.
Penguasaan penuh dipamerkan The Malaysian Hockey Tigers dalam suku ketiga dengan menyudahkan dua pukulan sudut penalti bermula dengan jaringan Ashran pada minit ke-36 dan disusuli dengan gol hatrik Faizal pada minit ke-45.
#Ashran Hamsani
#Faizal Saari
#Fitri Saari
#Hockey Tigers
#hoki
#Malaysia Poland
#Piala Sultan Azlan Shah
#PSAS