Piala Sudirman: Pemain negara perlu terus bersikap rendah diri - Norza

Astro Arena
Oktober 3, 2021 06:21 MYT
Norza berkata, persembahan pemain negara termasuk Pearly Tan-M Thinaah (gambar) dan Hoo Pang Roon-Cheah Yee See telah mengejutkan ramai pihak. - Gambar fail
PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, meluahkan kebanggaannya terhadap kejayaan skuad muda dalam Piala Sudirman sambil mengingatkan bahawa perjalanan mereka di peringkat tertinggi antarabangsa baru sahaja bermula.
Menjelang Piala Thomas dan Piala Uber yang bakal berlangsung dari 9 hingga 17 Oktober ini, Norza optimis skuad negara mampu menyinar berdasarkan momentum kempen di Vantaa, Finland itu.
"Kemenangan ke atas Indonesia (di peringkat suku akhir) adalah detik paling diingati sebab selalunya apabila bertemu mereka, kami selalu jadi bahan.
"Mereka akan rasakan Malaysia adalah kuasa yang tidak mungkin boleh mengalahkan mereka.
"Tapi cara pemain negara yang bermain bermati-matian telah menyangkal ramalan ramai.
"Sudah tentu Pearly Tan-M Thinaah dan Hoo Pang Roon-Cheah Yee See telah mengejutkan semua.
"Barisan kali ini adalah muda tetapi dikenali tetapi dua beregu ini macam senjata rahsia Malaysia.
"Ramai tidak menyangka terutama Greysia Polii-Apriyani Rahayu boleh dikalahkan. Sama macam beregu England," katanya di Nadi Weekend.
Sumber Facebook BAMalaysia
Skuad kebangsaan mengulangi pencapaian 2009 apabila mara ke separuh akhir kejohanan berpasukan itu sebelum disekat Jepun 1-3 dalam pertembungan pada awal pagi semalam.
Tetapi dengan prestasi memberangsangkan barisan muda yang diketengahkan kali ini, ia secara tidak langsung memberi sinar kepada kancah badminton tanah air.
"Jangan orang kata prestasi kali ini sekadar kejadian yang berlaku sekali.
"Kami mahu pemain negara kekal rendah diri namun bersedia meneruskan perjuangan mereka di peringkat yang lebih tinggi," katanya lagi.
Skuad Piala Uber Denmark akan menjadi lawan Malaysia, Sabtu depan, sebelum skuad wanita negara bertemu China keesokan harinya.
Bagi Piala Thomas pula, Malaysia akan memulakan kempen menentang England pada Ahad depan dan Kanada, dua hari kemudian sebelum berdepan Jepun (14 Oktober).
#badminton #BAM #Piala Sudirman #Mohamad Norza Zakaria
;