Piala Sudirman: Kita sandarkan pada Zii Jia

Bernama
September 25, 2021 19:44 MYT
Chong Wei juga berhasrat untuk melihat Zii Jia (gambar) menjadikan Piala Sudirman 2021 sebagai satu venue untuk membuktikan yang beliau layak memimpin pasukan Malaysia untuk tahun-tahun yang akan datang. - Bernama
KUALA LUMPUR: Tiga hari lagi, peminat badminton negara berpeluang menyaksikan aksi pemain perseorangan utama negara Lee Zii Jia dalam penampilanya pada Piala Sudirman 2021 di Vantaa, Finland.
Walaupun ini bukanlah penampilan pertama Zii Jia di kejohanan itu selepas penyertaan pada edisi 2017 dan 2019, penyertaan kali ini agak berbeza kerana buat pertama kalinya beliau menjadi sandaran Malaysia sebagai ketua pasukan negara, pada kejohanan berpasukan campuran itu.
Cabaran yang akan dihadapi Zii Jia dan rakan sepasukan untuk mencatatkan keputusan cemerlang tidak terhenti di situ dengan anggota pasukan Malaysia kali ini secara puratanya berusia 22 tahun, dengan pemain beregu campuran Cheah Yee See, 26, menjadi pemain paling berusia.
Namun Zii Jia yang juga juara All England 2021 menerima sokongan kuat dari bekas pemain nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei.
Legenda badminton negara yang mengetuai pasukan negara pada edisi 2009 yang menyaksikan pencapaian terbaik negara dengan memenangi pingat gangsa, percaya Zii Jia mempunyai keupayaan untuk memberikan inspirasi kepada pemain muda lain untuk mereka berikan yang terbaik.
"Tidak dinafikan Zii Jia mempunyai tugasan yang cukup berat bagi menggalakkan pemain muda untuk beraksi dengan baik di gelanggang. Saya agak teruja untuk melihat Zii Jia menguruskan kesemua rakan sepasukannya pada Piala Sudirman 2021," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Sebagai tunggak harapan pada pasukan, Chong Wei juga berhasrat untuk melihat Zii Jia menjadikan Piala Sudirman 2021 sebagai satu venue untuk membuktikan yang beliau layak memimpin pasukan Malaysia untuk tahun-tahun yang akan datang.
Beliau yang merupakan ketua pasukan Piala Sudirman negara dari 2009 hinggga 2017, Chong Wei berkata beliau selalunya akan bermain dengan terbaik bagi memberikan motivasi kepada pemain lain dan berharap yang Zii Jia akan lakukan perkara yang sama.
Sementara itu Chong Wei menyatakan Piala Sudirman 2021 merupakan satu plaftorm terbaik untuk pemain muda meningkatkan prestasi masing-masing, kerana mereka akan memperoleh pengalaman dan pendedahan berharga berhadapan pemain-pemain yang lebih berpengalaman.
Zii Jia akan disertai pemain lain termasuk Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin (perseorangan lelaki); pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki); juara Sukan SEA 2019 S. Kisona, bersama Eoon Qi Xuan, K. Letshanaa (perseorangan wanita); Pearly Tan-M. Thinaah, Yap Ling-Teoh Mei Xing (beregu wanita); dan Hoo Pang Ron-Yee See dan Chen Tan Jie-Peck Yen Wei (beregu campuran).
Malaysia akan bertemu England pada aksi pembukaan Kumpulan D mereka pada Isnin (27 Sept), diikuti Mesir pada 28 Sept sebelum melengkapkan jadual perlawanan peringkat kumpulan dengan bertemu pemenang tempat kedua edisi 2018, Jepun pada 30 Sept.
Kejohanan dwitahunan di Finland itu berlangsung hingga 3 Okt.
-- BERNAMA
#Lee Zii Jia #Piala Sudirman #badminton #pemain perseorangan utama
;