Piala Sudirman: Choong Hann mahu skuad badminton negara kekal waspada ancaman pencabar
Bernama
Februari 24, 2023 15:19 MYT
Februari 24, 2023 15:19 MYT
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Wong Choong Hann mahu skuad negara kekal berwaspada dengan ancaman pasukan lain walaupun berjaya mengelak daripada bertemu gergasi badminton di peringkat kumpulan pada saingan Piala Sudirman Mei ini.
Choong Hann berkata ini berikutan skuad negara kini berada di kedudukan keempat dunia selepas naik satu anak tangga berdasarkan ranking dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), sekali gus menempatkan mereka dalam balang 1 bersama juara 12 kali iaitu pasukan China, Jepun dan Indonesia.
Pemenang pingat emas tiga kali di Sukan Komanwel itu bagaimanapun tetap mengakui ia satu perkembangan yang positif buat pasukan negara, namun menuntut anak buahnya menampilkan aksi bertenaga dalam kejohanan berprestij itu.
"Sudah tentu adalah baik untuk berada di atas kerana saya fikir kita telah melangkah jauh sejak kami berada di kedudukan lapan atau sembilan dalam tiga tahun lalu. Ia adalah satu kejayaan...namun saya percaya kenaikan ranking ini cuma bantu kita sikit dalam peringkat undian (Piala Sudirman) nanti, sebab bagi saya ranking keempat hanya nombor semata-mata dan banyak perlu diperbaiki.
"Kami perlu bersedia dari sekarang untuk membina satu pasukan yang ampuh bagi menghadapi saingan itu. Ini adalah proses di mana seluruh pasukan mengetahui bahawa setiap daripada mereka mempunyai tugas dari bakal pencabar daripada kategori yang sama," katanya ketika ditemui pemberita di ABM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Choong Hann berpendapat kekalahan skuad negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu lepas tidak boleh dijadikan penanda aras sebenar memandangkan pemain-pemain masih belum mempamerkan aksi yang sebenar dalam gelanggang perlawanan.
"Memang kita risau bila kita tidak berjaya menampilkan aksi yang terbaik. Namun adalah penting untuk kita tidak terlalu memberi tekanan yang melampau kepada pemain kerana mereka telah memberikan persembahan terbaik.
"Sebab kadang-kadang terdapat perkara di luar jangkaan akan berlaku ketika bertanding dalam satu-satu kejohanan. Kami percaya mereka mempunyai harga diri dan tidak mahu kalah kepada pihak lawan. Mereka pasti akan ambil pengajaran dari kejohanan itu dan mahu memperbaiki aksi mereka untuk aksi yang seterusnya," katanya.
Pada edisi lepas di Vantaa, Finland, perjalanan skuad badminton negara terhenti setakat peringkat separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada Jepun.
Piala Sudirman 2023 akan berlangsung di Suzhou, China pada 14-21 Mei ini.
-- BERNAMA